suria

Empat Kanak-Kanak Maut Dalam Ribut Di Filipina

EMPAT kanak-kanak mati lemas dan tiga yang lain hilang di Filipina selepas sebuah bot kecil terbalik di laut bergelora akibat Ribut Tropika Rumbia, menurut pasukan penyelamat, Isnin.

Mangsa-mangsa adalah daripada beberapa keluarga yang dalam perjalanan di antara dua pulau kecil pada Sabtu, kata Ketua Pejabat Pertahanan Awam Serantau, Rosario Cabrera.

"Bot terbalik akibat ombak besar," kata Cabrera dalam satu laporan bertulis dan pejabat beliau menghantar satu salinan kepada AFP.

Kanak-kanak yang mati berusia antara satu bulan dan lapan tahun, katanya.

Dua kanak-kanak dan seorang wanita tua disenaraikan sebagai hilang, manakala kapten bot berjaya berenang ke pulau besar berdekatan Panay untuk menaikkan penggera.

Pada Ahad, nelayan menyelamatkan lapan orang termasuk empat kanak-kanak yang berpaut pada bahagian-bahagian bot terbalik selama 23 jam, kata laporan itu.

Taufan Rumbia merentasi tengah Filipina minggu lepas, mengganggu perkhidmatan feri, penerbangan dan bekalan kuasa tempatan, yang kemudian telah dipulihkan.

Ribut itu kini merentasi Laut China Selatan menuju ke arah selatan China. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain