suria

Myanmar Perlu Diberi Masa Laksana Syor Suruhanjaya Siasatan Rakhine - Malaysia

KUALA LUMPUR: Myanmar perlu diberi masa dan ruang dasar untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Rakhine dalam menyelesaikan keganasan terhadap umat Islam termasuk kaum Rohingya di negara itu.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Mazlan Muhammad berkata Malaysia amat bimbang dengan laporan keganasan terhadap umat Islam termasuk penduduk Rohingya di Myanmar.

"Malaysia mengalu-alukan komitmen yang dibuat oleh Presiden Myanmar untuk menangani isu tersebut susulan laporan suruhanjaya tersebut," katanya pada persidangan sesi ke-23 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva.

Teks ucapan Mazlan, yang mengetuai delegasi Malaysia ke sesi tersebut bermula semalam hingga 14 Jun ini, diberikan kepada Bernama pada Selasa.

Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay dalam ucapan pembukaannya melahirkan harapan bahawa majlis itu akan dapat mengambil tindakan nyata untuk menghentikan peningkatan keganasan di Syria, pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat Islam di Myanmar dan kegagalan Amerika Syarikat menutup pusat tahanan Guantanamo Bay.

Mengenai peningkatan keganasan di Syria, Mazlan berkata Malaysia menyambut baik laporan baru-baru ini bahawa kerajaan Syria telah bersetuju untuk menghadiri persidangan keamanan antarabangsa dalam usaha mencari penyelesaian politik kepada konflik dalaman di negara itu.

"Kami menyokong usaha berterusan masyarakat antarabangsa untuk menyeru semua pihak supaya segera menamatkan krisis itu," katanya sambil menambah bahawa peningkatan keganasan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak bertelagah telah menyebabkan ramai mangsa terkorban dan penderitaan kepada rakyat Syria.

Menyentuh pencabulan hak rakyat Palestin oleh Israel, sebagai kuasa penjajah, Mazlan berkata: "Kita mesti bertindak dengan satu suara bagi mengenakan tekanan ke atas Israel untuk memenuhi obligasi antarabangsa dan melaksanakan resolusi PBB yang relevan." "Kami khuatir pembahagian politik dalam majlis dan ketidakupayaan untuk bertindak ke atas isu ini satu hari nanti mungkin menjadi kelemahan majlis ini," katanya.

Mengenai keganasan, katanya Malaysia bersetuju dengan Navi bahawa perjuangan masyarakat antarabangsa terhadap kesengsaraan akibat keganasan perlu berlandaskan ciri-ciri menghormati hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. -BERNAMA

Artikel Lain