suria

Usahawan British Yang Dibunuh Isteri Bo Xilai Didakwa Pengintip

BEIJING: Seorang usahawan British yang mati dibunuh oleh isteri bekas pemimpin berpengaruh Parti Komunis China adalah seorang pengintip, demikian didedahkan oleh akhbar Wall Street Journal pada Selasa.

Menurut akhbar tersebut, ahli perniagaan itu Neil Heywood telah menyalurkan pelbagai maklumat mengenai Bo Xilai dan isterinya kepada agensi perisikan British, MI6.

Akhbar itu memetik kenyataan daripada rakan-rakan Heywood yang mengatakan lebih setahun mendiang menyalurkan pelbagai maklumat mengenai Bo dan isterinya kepada MI6.

Skandal pembunuhan Heywood telah menjatuhkan Bo sebagai pemimpin masa depan Parti Komunis China sekaligus meranapkan kerjayanya sebagai seorang pentadbir.

Manakala isterinya pula, telah dijatuhkan hukuman mati yang ditangguhkan di atas kesalahan membunuh Heywood dengan cara meracuninya.

Heywood menjadi rapat kepada keluarga Bo pada awal tahun 1990an apabila Bo menjadi datuk bandar bandar Dalian.

Beliau ditemui mati pada November tahun lalu di sebuah hotel di bandar Chongqing, yang mana Bo adalah pentadbirnya.

Heywood juga memandu kereta Jaguar perak dengan plat "007", dedah akhbar itu lagi.

Usahawan itu mula mengintip untuk agensi perisikan British selepas dia bertemu dengan pegawai MI6 pada 2009 dan kemudian dikatakan mula bertemu secara regular di China.

Heywood dilaporkan menyalurkan pelbagai maklumat peribadi mengenai Bo kepada perisik rahsia MI6.

Artikel Lain