suria

Gergasi Perbankan Swiss UBS Umumkan Pengurangan Pekerja Sehingga 10,000 Orang Menjelang 2015

ZURICH: Agensi berita AFP melaporkan, gergasi perbankan Swiss - UBS telah mengumumkan bahawa ia bakal mengurangkan 10,000 pekerjaan di seluruh dunia sehingga tahun 2015 akibat kerugian yang dialaminya tahun ini.

Laporan kewangan pada tiga suku pertama tahun ini menunjukkan yang UBS telah mengalami kerugian bersih sehingga 2.2 bilion Swiss franc berbanding keuntungan bersih berjumlah 1 bilion Swiss franc yang dicapainya untuk tempoh yang sama iaitu Julai-September tahun lalu.

"Keputusan yang terpaksa kami ambil ini adalah satu keputusan yang sangat sukar kerana falsafah pengurusan kami segala-galanya adalah tentang masyarakat dan manusia," kata Ketua Pegawai Eksekutif UBS, Sergio Ermotti dalam satu kenyataan.

Bank yang berpangkalan di Zurich itu menegaskan langkah untuk mengurangkan kakitangannya sehingga kepada 54,000 orang sahaja menjelang 2015 adalah satu langkah yang perlu sebagai sebahagian daripada pelan pengstrukturan semula UBS.

Buat masa ini bank tersebut mempunyai 63,745 orang kakitangan di seluruh dunia.

Pelan pengstrukturan semula UBS itu dijangka akan dapat menyelamatkan kos operasi sehingga 5.4 bilion Swiss francs (atau 4.5 bilion euros/AS$5.8 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

UBS, yang telah pun mengurangkan 5,500 pekerja tahun lalu tidak menjelaskan pada bahagian manakah yang akan terjejas teruk ekoran daripada langkah mengurangkan pekerja ini.

Agensi berita Swiss - ATS sementara itu menganggarkan sekurang-kurangnya 2,500 pekerjaan akan dikurangkan di UBS Switzerland sahaja.

Artikel Berikut

Artikel Lain