suria

Anak Harap Bapa Sempat Hadiri Majlis Perkahwinan

MELBOURNE: Anak perempuan sorang rakyat Malaysia yang didapati membunuh pakar bedah jantung terkenal Australia Dr Victor Chang berharap bapanya sempat menghadiri majlis perkahwinannya 20 Oktober ini.

Mahkamah Agung New South Wales (NSW) telah menolak rayuan pada Selasa untuk menangguh parol ke atas Liew Chiew Seng, yang menembak mati Dr Chang pada 1991 di Sydney dalam cubaan peras ugut yang gagal.

Beliau kini berumur 69 tahun boleh dihantar pulang ke Malaysia seawal Isnin.

Menurut agensi Australian Associated Press (AAP), kelurganya Liew di Malaysia yang ghairah dengan berita itu berkata mereka merancang satu pertemuan keluarga dan berharap Liew boleh meneruskan tanggungjawab sebagai bapa kepada pengantin perempuan.

"Kami berharap beliau boleh dibebaskan secepat mungkin kerana saya akan berkahwin Sabtu depan (20 Okt)," anaknya Liew Kwei Fei memberitahu AAP dari Malaysia.

"Saya berharap beliau akan berada di sisi saya apabia saya berkahwin."

Anak lelakinya, Chin Yuan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Australia apabila mendengar berita tersebut.

"Kini masanya kelurga kami berkumpul semula," Kwei Fei memberitahu AAP dari Malaysia.

Chiew Seng dibenarkan parol bulan lalu dengan arahan beliau dibebaskan tidak lewat daripada Rabu, tetapi Peguam Ngara NSW, Greg Smith memohon Mahkamah Agung membuat semakan semula.

Beliau juga dikatakan mengalami penyakit Parkinson dan dianggap sangat kurus untuk usianya.

Dijangkakan sebaik sahaja Chiew Seng dibebas dari rawatan di Pusat Pemulihan Long Bay, timur Sydney, para pegawai Imigresen akan segera menghantarnya pulang ke Malaysia. Kwei Fei memohon maaf kepada keluarga Victor Chang.

"Kami hidup dalam bayangan. Kami berharap keluarga Victor Chang boleh memaafkan kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain