suria

India Mungkin Benarkan Pesawat A380 Di Ruang Angkasanya

NEW DELHI: Pesawat Airbus A380, mungkin terbang di ruang angkasa India, kerana kerajaan merancang untuk membenarkan syarikat penerbangan antarabangsa menggunakan kapal-kapal terbang jarak jauh ini ke negara ini.

Langah membenarkan syarikat penerbangan menggunakan pesawat Airbus 380 bagi penerbangan kes India merupakan perubahan pendirian kerajaan yang, sebelum ini, melarang syarikat penerbangan mengendalikan pesawat-pesawat ini ke negara ini untuk melindungi syarikat penerbangan tempatan, demikian menurut laporan akhbar The Indian Express.

Lufthansa, Emirates dan Singapore Airlines telah menunjukkan minat untuk menggunakan pesawat itu dalam penerbangannya ke India.

"Kami akan membenarkan syarikat yang ingin menggunakan pesawat Airbus 380 ke India di bawah pengagihan dua hala yang sedia ada," kata seorang pegawai kanan kementerian penerbangan awam, yang enggan namanya disiarkan.

Sebelum ini, kerajaan tidak membenarkan penggunaan pesawat Airbus 380 dalam penerbangan ke negara ini atas alasan syarikat penerbangan India sukar bersaing dengan syarikat-syarikat yang mengendalikan penerbangan jarak jauh.

"Kenapa pula tidak adil bagi syarikat penerbangan India sedangkan bilangan tempat duduk mingguan yang dibenarkan di bawah pengagihan dua hala bagi syarikat penerbangan ini tetap tidak berubah.

"Syarikat-syarikat itu boleh mengendalikan kapal-kapal terbang yang lebih besar tetapi kuota tempat duduk di bawah pengagihan dua hala itu tidak akan berubah dan ini akan memastikan peluang saksama yang wujud tidak terjejas.

"Peraturan akan diubah untuk membolehkan syarikat-syarikat ini membawa masuk pesawat Airbus 380. Kita harus berbangga dengan hakikat bahawa kita ada lapangan terbang yang boleh menampung pesawat Airbus 380," kata pegawai itu.

Pada masa ini, lapangan terbang di Delhi, Bangalore dan Hyderabad dilengkapi dengan kemudahan untuk mengendalikan operasi pesawat Airbus 380.

Seperti yang dijangkakan, syarikat-syarikat penebangan menyambut baik langkah ini.

Pesawat dua tingkat Airbus 380 itu adalah kapal terbang bersaiz paling besar dan mempunyai kapasiti tempat duduk bagi lebih 525 penumpang dalam konfigurasi 3 kelas.

Pada masa ini, kira-kira 85 pesawat itu beroperasi di seluruh dunia.

Di India, Kingfisher Airlines, merupakan satu-satunya syarikat penerbangan India yang telah menempah pesawat Airbus 380 (lima buah). Syarikat yang dibelenggu masalah itu belum membatalkan tempahan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain