suria

Tenaga Kerja Indonesia Paling Banyak Hadapi Masalah Di Taiwan

JAKARTA: Tenaga kerja Indonesia paling banyak menghadapi masalah di Taiwan berbanding tujuh negara atau wilayah lain di kawasan Asia Pasifik dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menurut data yang dikumpulkan Pusat Penyelidikan Pembangunan dan Maklumat, Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI), daripada sejumlah 6,364 kes tenaga kerja Indonesia bermasalah yang dicatat sepanjang tempoh itu, 2,652 kes atau 41 peratus berlaku di Taiwan.

Ia diikuti dengan 1,959 kes di Singapura, Hong Kong (995 kes), Malaysia (570 kes), Brunei (165 kes), Macao (18 kes), Korea Selatan (empat kes) dan Jepun (satu kes), demikian menurut satu laporan di laman web BNP2TKI.

Menurut laporan itu, setiap hari pusat penyelidikan itu mencatat 15 kes daripada mereka yang baharu tiba di Balai Pelayanan Kepulangan (BPK) Tenaga Kerja Indonesia di Lapangan terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten.

Daripada sejumlah 6,364 kes yang dicatat itu, masalah dibuang kerja oleh majikan adalah yang paling banyak dihadapi oleh tenaga Kerja Indonesia itu, iaitu 2,295 kes atau 36 peratus, diikuti dengan kes majikan bermasalah, sebanyak 1,236 kes (19 peratus) dan kes pekerja sakit di tempat kerja, sebanyak 817 kes (12 peratus). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain