suria

Keganasan Meningkat Di Selatan Thailand

BANGKOK: Letupan bom dan tembakan mengakibatkan enam orang terbunuh dan 44 lagi cedera di rantau bergolak, selatan Thailand, pada Ahad.

Dalam serangan terbaru, seramai 17 orang, seorang daripada mereka anggota polis, cedera apabila dua bom tangan M79 dibaling dalam sebuah majlis keramaian tempatan di daerah Bacho, Narathiwat.

Polis berkata, bom tangan itu dilontar ke arah sekumpulan pekedai yang menjual barangan tempatan di kawasan bertentangan balai polis Bacho pada 7.20 malam Ahad.

Pada Sabtu, lima orang ditembak mati dalam keganasan di tiga wilayah majoriti penduduk Islam di selatan negara itu yang dilanda konflik selama lapan tahun meragut beribu-ribu nyawa.

Di Pattani, penyerang tidak dikenali menembak mati anggota polis Islam, warga tua Buddha berusia 74 tahun dan seorang sukarelawan keselamatan dalam serangan berasingan.

Dalam pada itu kejadian tembakan di Yala menyasarkan pasangan suami isteri Buddha dalam perjalanan ke pasar, menyebabkan wanita itu meninggal dunia dan suaminya cedera. Kejadian sama di Narathiwat menyaksikan seorang lelaki dan isterinya - kedua-duanya sukarelawan keselamatan yang dalam perjalanan ke sesi latihan menembak - ditembak, menyebabkan wanita itu terbunuh manakala suaminya cedera.

Sementara di Yala, seorang remaja lelaki Islam berusia 18 tahun ditembak mati di Yala, manakala seorang wanita dan anak perempuannya juga diserang dan dicederakan oleh kumpulan bersenjata dalam kejadian berasingan.

Perjuangan yang menuntut kuasa autonomi lebih besar menggegarkan selatan Thailand sejak 2004 meragut lebih 5,300 nyawa penduduk Buddha dan Islam disebabkan serangan bom dan tembakan. AFP

Artikel Lain