suria

40,000 Tempahan Tiket Penerbangan Dari Jepun Ke China Dibatalkan Ekoran Krisis Kepulauan Jepun-China

NEW YORK: Sejurus selepas Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda memberi ucapan yang keras di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak mereka ke atas gugusan kepulauan Senkaku yang menjadi pertikaian dengan Republik Rakyat China, 40,000 tempahan tiket penerbangan antara kedua-dua buah negara telah dibatalkan.

Ini berikutan kebimbangan orang-ramai mengenai kemungkinan pertikaian tersebut menjurus ke arah peperangan antara kedua-dua buah negara.

Sejak beberapa minggu lalu, kilang-kilang dan kepentingan perniagaan Jepun di China telah menjadi mangsa sasaran penjarahan oleh warga China yang patriotik.

Noda tidak mahu mengulas sama ada kerajaan Jepun akan menuntut pampasan dari Kerajaan China ekoran serangan dan juga kerosakan yang berlaku ke atas kepentingan mereka itu.

Kepulauan itu dikenali dengan nama Diaoyu oleh China.

Dalam perkembangan berkaitan, All Nippon Airways (ANA) iaitu syarikat penerbangan terbesar Jepun mengesahkan bahawa 40,000 tempahan tiket penerbangan dari Jepun ke China sehingga November ini telah dibatalkan ekoran ancaman peperangan antara kedua-dua buah negara itu.

Dalam pada itu, dua gergasi permotoran Jepun, Toyota dan Nissan turut mengeluarkan kenyataan yang mereka juga merancang untuk memotong pengeluaran di China kerana permintaan ke atas kenderaan Jepun di negara itu telah merudum dengan teruk ekoran pertikaian ini.

Dalam ucapannya, Noda menegaskan bahawa negaranya tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak mereka ke atas gugusan pulau berkenaan.

Malah Noda dengan penuh yakin menegaskan bahawa Jepun akan menang sekiranya kes itu dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Para delegasi Jepun ke PBB turut mengedarkan salinan dokumen kepada para pemberita termasuk salinan peta rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan China pada tahun 1932 dan 1960 yang antara lain menandakan kepulauan itu sebagai sebahagian dari wilayah Jepun.

Di samping itu Korea Selatan dan Jepun turut bertelagah ke atas hak sebuah lagi pulau yang dikenali dengan nama Takeshima di Jepun tetapi buat masa ini ditadbir oleh Seoul.

Sementara itu, kapal-kapal perang China dilihat berlegar-legar berhampiran kepulauan Senkaku sebagai percubaan untuk menunjukkan tuntutan mereka sejak beberapa hari lalu.

Artikel Lain