suria

Arkitek Terkemuka Australia Lawat KL

MELBOURNE: S P Setia menerbangkan arkitek terkemuka dunia dari Australia, Karl Fender, ke Malaysia hujung minggu ini untuk berbincang mengenai projek pembangunan berjuta dolar pemaju hartanah utama Malaysia di sini.

Fender, graduan Sarjana Universiti Harvard, akan berada di Hotel JW Marriott di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Sept ini untuk mempromosi pembangunan Fulton Lane SP Setia di Melbourne yang menurutnya merupakan "pembangunan cemerlang".

Pengarah pengasas Fender Katsalidis Archtects, Fender memberitahu Bernama Fulton Lane merupakan antara senarai projek pencapaian berprestijnya, yang meliputi menara ikonik 88 tingkat, Eureka Tower di sini, bangunan kediaman tertinggi di Hemisfera Selatan.

Fender yang mempunyai bakat kreatif hebat, pengalaman luas dan bijaksana, akan berada di Kuala Lumpur untuk berkongsi genesis "Fulton Lane" dan visi pembangunan luar biasa yang mempunyai kewibawaan mesra alam terbaik.

Pembinaan projek Fulton Lane sudah bermula, melibatkan dua menara dengan 778 pangsapuri bercampur-campur dan podium bersepadu yang bersepadu dengan bahagian peruncitan.

Fulton Lane terletak di Wilayah Pusat Perniagaan Melbourne dan berhampiran Queen Victoria Market yang sangat terkenal.

Pengguna juga boleh berjalan kaki sahaja ke University of Melbourne dan RMIT University serta beberapa restoran dan kafe terbaik di bandar raya itu manakala tren, tram dan bas juga terletak berdekatan.

"Melbourne kini meningkatkan reputasinya sebagai bandar raya yang sesuai didiami di dunia, ia merupakan ibu negeri yang terkenal kerana aktiviti sukan, budaya dan makanan di Australia.

"Kami menikmati gaya hidup hebat selain ramai masyarakat Asia, dengan rakyat Malaysia dan Singapura yang menganggap Melbourne sebagai rumah mereka," kata Choong Kai Wai, Ketua Eksekutif S P Setia Melbourne.

S P Setia, antara pemaju hartanah terbesar Malaysia, telah meluaskan penguasaannya di pasaran Australia menerusi pembelian tapak kedua utama di St Kilda Road, yang dibarisi pokok di Boulevard utama Australia.

Pembeli Fulton Lane ditawarkan kadar faedah 10 peratus bagi sebahagian harga pembelian untuk unit berkenaan.

"Pembeli akan mendapat faedah ke atas sebahagian daripada harga yang dibayar, kaedah pertama yang diperkenalkan oleh mana-mana syarikat. Kadar faedah ke atas deposit di Australia kini kira-kira 4 peratus setahun," kata Jeffrey Ong, Pengurus Jualan dan Pemasaran SP Setia.

Fender Katsalidis Architects juga melaksanakan projek kediaman utama di Shanghai, Kuala Lumpur, Gibraltar, Jakarta dan di seluruh Australia.

Fender pernah tinggal dan bekerja di Melbourne, London, Paris, Hong Kong, Bangkok, Boston dan Rome. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wartawan TV Terbunuh Di Syria

Artikel Berikut

Artikel Lain