suria

Enam Terbunuh, 40 Cedera Dalam Serangan Bom Kereta Di Pattani

BANGKOK: Enam orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam serangan bom kereta di Saiburi, Pattani hari ini, kata Aziz Umayee, ketua polis Saiburi yang turut cedera.

Beliau berkata bom buatan sendiri seberat 50kg itu yang disorok di dalam sebuah kenderaan pikap, diledakkan dari jarak jauh menggunakan telefon bimbit kira-kira 12.30 tengah hari.

Terdahulu, kumpulan disyaki puak pemisah melepaskan tembakan di sebuah kedai emas di bandar Saiburi. Tiada kematian dilaporkan.

"Saya dan pasukan saya pergi menyiasat insiden itu. Bagaimanapun, kenderaan pikap yang diparkir berdekatan kedai emas itu meledak sebaik saja kami tiba," kata Aziz, yang cedera di kepala.

Beliau berkata insiden pertama sebenarnya umpan untuk menarik kedatangan polis dan sukarelawan pertahanan ke kawasan itu.

Enam yang terbunuh terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki, termasuk seorang sukarelawan pertahanan, manakala yang cedera pula merangkumi anggota polis serta orang awam dari kedai dan rumah berhampiran.

Letupan itu turut mengakibatkan beberapa kedai dan rumah di kawasan itu terbakar. Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki puak pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan tiga wilayah iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Terkorban Ribut di Amerika Selatan

Artikel Lain