suria

19 Terbunuh Loji Penapisan Terbesar Di Venezuela Meletup

PARAGUANA: Satu letupan gas yang besar menggegarkan Amuay, loji penapisan minyak terbesar di Venezuela, yang mengeluarkan 645,000 tong minyak sehari, membunuh 19 orang dalam kejadian yang berlaku sebelum subuh pada Sabtu, menurut pegawai.

Gabenor Falcon, Stella Lugo, berkata lebih daripada 53 yang lain telah cedera, dan kanak-kanak berusia 10 tahun adalah antara yang terkorban.

"Kami sedang menggerakkan keseluruahan pasukan perkhidmatan kebakaran, semua pasukan kesihatan, semua pelan kontingensi atas perintah (Presiden Hugo) Chavez untuk memberi keutamaan terhadap mereka yang terjejas oleh kecemasan ini," Lugo memberitahu stesen TV negeri Venezuela.

Menurut pegawai, letupan disebabkan oleh kebocoran gas dan ia telah merosakkan kediaman berdekatan bersama-sama dengan kompleks penapisan.

Berpangkalan di barat negara OPEC Selatan Amerika, Amuay adalah sebahagian daripada Pusat Penapisan Paraguana, salah satu kompleks penapisan terbesar di dunia dengan kapasiti keseluruhan 955,000 tong sehari.

"Satu letupan gas telah berlaku," Menteri Tenaga Rafael Ramirez memberitahu stesen TV negeri.

"Ia adalah satu letupan yang besar, terdapat kerosakan yang ketara terhadap infrastruktur dan rumah yang bertentangan dengan loji penapisan."

Pekerja kecemasan berada di tempat kejadian, di mana asap dan api boleh dilihat menyelubungi kawasan terbabit.

Ramirez dan Lugo berkata keadaan itu bagaimanapun, berada di bawah kawalan beberapa jam selepas letupan pada kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan.

"Tidak terdapat risiko letupan lain," kata Lugo.

Amuay dikendalikan oleh syarikat minyak kerajaan PDVSA yang telah bergelut dengan masalah penapisan dalam tahun-tahun kebelakangan ini, melibatkan angka pengeluaran dan keupayaan untuk memenuhi rancangan untuk mengembangkannya.

Ivan Freites, pemimpin kesatuan di PDVSA berkata buih digunakan untuk mengawal kebakaran.

Artikel Sebelum

Artikel Lain