suria

Tun M Optimis Myanmar Sedia Dengar Pandangan Dunia & Terima Masyarakat Islam Rohingya

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat optimistik bahawa kepimpinan Myanmar sekarang sedia mendengar pandangan negara jiran dan dunia dalam usaha menerima masyarakat Islam Rohingya, sejajar dengan standard hak asasi manusia antarabangsa.

Beliau berkata proses demokrasi yang sedang berlangsung di Myanmar menunjukkan bahawa kepimpinan negara itu mempunyai pendirian yang berbeza dengan kepimpinan sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berkata proses peneriman terhadap kumpulan minoriti itu mungkin mengambil masa.

"Saya fikir kepimpinan Myanmar sekarang ini mempunyai pendirian yang berbeza. Saya tak fikir mereka tidak langsung peduli kepada pendapat-pendapat jiran-jiran mereka dan pendapat dunia.

"Akhirnya mereka tentu akan terima juga walaupun akan mengambil masa sedikit," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Rabu.

Dr Mahatir berkata sebagai negara jiran dan angota Asean, pemimpin Malaysia juga mempunyai peranan dengan menghubungi pemimin negara tersebut dalam usaha memulihkan keharmonian dan penerimaan masyarakat itu.

"Saya fikir pemimpin Malaysia harus bercakap secara persendirian dengan pemimpin Myanmar dan saya yakin pemimpin Myanmar akan bertukar supaya menerima lebih lagi standard-standard piawaian yang diamalkan oleh pihak lain," katanya.

Sehubungan dengan itu katanya beliau telah menulis surat kepada ikon demokrasi yang juga aktivis hak asasi manusia di Myanmar, Aung Sang Suu Kyi dua minggu lalu yang meminta agar beliau campur tangan dalam isu tersebut.

Rohingya adalah rakyat Myanmar beragama Islam yang tinggal di wilayah Arakan. Kerajaan Myanmar mengklasifikasikan etnik Rohingya sebagai masyarakat Islam Bengali yang masuk dari Bangladesh, tetapi tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Myanmar.

Pada 2012, dianggarkan 800,000 anggota masyarakat ini tinggal di Myanmar dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka adalah antara kumpulan minoriti yang paling teruk dizalimi di dunia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain