suria

Titik Panas Dikesan Di 129 Lokasi Di Riau

JAKARTA: Titik panas atau hotspot dikesan lagi di 129 lokasi di kawasan daratan Riau yang tersebar di sembilan daerah atau kawasan perbandaran.

Lokasi titik panas terbanyak ialah di daerah Pelalawan iaitu sebanyak 43 titik lokasi hutan di kawasan itu, kata penganalisis Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Stesen Pekanbaru, Aristya Ardhitama di Pekanbaru, Khamis.

Di daerah Siak terdapat 28 lokasi, daerah Indragiri Hilir (27), daerah Indragiri Hulu (13), daerah Kampar (enam), daerah Bengkalis (empat), daerah Kuantan Singingi (empat), daerah Meranti (dua) dan daerah Rokan Hulu (dua).

Ardhitama berkata setakat ini titik panas di wilayah Riau mengakibatkan kemunculan kabut asap yang mengehadkan jarak pandang penerbangan.

"Terakhir, yang paling buruk ialah jarak pandangnya di bawah 1km, berlaku pada Selasa (14 Ogos) lalu. Namun ia belum mengganggu aktiviti penerbangan," katanya.

Pada hari ini kabut asap mengehadkan jarak pandang penerbangan di bawah 2km namun keadaan itu tidak mengganggu aktiviti penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasyim II.

Ardhitama percaya kabut asap yang muncul kesan kebakaran hutan itu akan terus menyelimuti sebahagian besar wilayah Riau hingga beberapa minggu lagi.

"Hal ini disebabkan kecenderungan suhu udara di Riau yang masih relatif kering atau panas, terutama pada waktu tengah hari," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain