suria

Australia, UAE Meterai Perjanjian Uranium

MELBOURNE: Australia telah menandatangani satu kerangka perjanjian dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membenarkan jualan uranium Australia, kata Menteri Luar Australia Bob Carr.

"Kami gembira bahawa UAE sudah memenuhi syarat dan keperluan yang kami ingini dari satu rakan," katanya kepada ABC Radio Khamis.

Walaupun kaya dengan minyak, UAE memilih untuk menjana kuasa domestik menggunakan nuklear dan pada Julai menjadi negara pertama dalam tempoh dua setengah dekad untuk memulakan pembinaan loji kuasa nuklear.

Carr berkata perjanjian itu membenarkan langkah keselamatan dilaksanakan bagi memastikan bahan nuklear Australia tidak digunakan selain bagi tujuan keamanan.

Bekalan uranium Australia akan dihentikan jika UAE mulai mengayanya atau memberinya kepada pihak ketiga atau mengumum akan menggunakan nuklear bagi tujuan peperangan.

Perjanjian itu adalah yang terbaru daripada 22 perjanjian yang sama yang meliputi 39 negara, yang termasuk Amerika Syarikat, Rusia, Korea, Britain, Kanada, Argentina dan China.

Ia merupakan yang kedua di Timur Tengah selepas Mesir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Ribut Ernesto Ancam Barbados

Artikel Lain