suria

Asean-Jepun Masuki Fasa Baru Dalam Usaha Perangi Keganasan

JAKARTA: Kerjasama memerangi keganasan kimia, biologi, radiologi dan nuklear (CBRN) dan siber adalah bidang keutamaan yang dipersetujui Asean dan Jepun untuk diberi perhatian sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memerangi keganasan.

Bidang keutamaan lain ialah keselamatan pengangkutan, kawalan sempadan dan imigresen, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan maritim dan pembinaan keupayaan.

Bidang-bidang ini dipersetujui pada dialog memerangi keganasan Asean-Jepun (AJCT) kali ke-7 di Cebu, Filipina mulai 24 hingga 26 Julai, kata Sekretariat Asean dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Mesyuarat itu menandakan bermulanya fasa kedua dialog AJCT (2012-2015) dan merupakan satu peluang yang baik bagi negara anggota Asean dan Jepun bertukar-tukar maklumat mengenai usaha mereka memerangi keganasan, kata kenyataan itu.

Mesyuarat itu menyemak semula fasa pertama dialog AJCT (2006-20110 dan membincangkan fasa kedua dialog AJCT.

Duta Besar Jepun yang bertanggungjawab berhubung kerjasama antarabangsa untuk memerangi keganasan dan jenayah terancang antarabangsa dan duta yang bertanggungjawab bagi dasar siber, Tamotsu Shinotsuka berkata Jepun berpendirian menyokong usaha Asean memerangi keganasan dengan menyokong kegiatan dan inisiatif membina keupayaan.

Beliau juga mengulangi kenyataan bahawa Jepun meneruskan pembiayaan usaha ini melalui dana integrasi Jepun-Asean (JAIF). Setiausaha Bahagian bagi Keamanan dan Ketenteraman dan Jenayah Merentas Sempadan, Jabatan Hal Ehwal Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina, Rico Escalona Puno bagi pihak Asean mengucapkan terima kasih kepada usaha berterusan Jepun dalam usaha memerangi keganasan.

Dialog itu dipengerusikan oleh Escalona Puno dan Shinotsuka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain