suria

Afghanistan Dahagakan Pelaburan

NEW DELHI: Afghanistan, negara yang hancur akibat perang, pemberontakan dan pergerakan militan sejak tiga dekad lepas, kini dahagakan pelaburan dalam pelbagai sektor, termasuk infrastruktur, perlombongan dan telekomunikasi.

Menteri Luar Dr Zalmai Rassoul bagaimanapun berkata keselamatan merupakan kebimbangan utama pelabur asing yang berpotensi.

"Walaupun pulangan tinggi atas pelaburan, usaha dan tindakan dalam menyediakan persekitaran yang baik untuk pelaburan, namun yang penting kepada pelabur di Afghanistan ialah aspek keselamatan," katanya.

"Bagimanapun, tahap keselamatan yang tidak sesuai hanya membabitkan kawasan yang kecil.

"Kerajaan mahu memastikan keselamatan penduduk, infrastruktur dan pelaburan di semua tempat di negara itu dan pada masa yang sama mahu memulihkan keamanan di semua wilayah di negara berkenaan," kata Rassoul pada Sidang Kemuncak Pelaburan Delhi Mengenai Afghanistan.

Beliau berkata peningkatan jumlah pelaburan akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi nasional di mana-mana negara, menambah perolehan, pewujudkan pekerjaan dan peluang menjana pendapatan yang seterusnya menjurus kepada peningkatan kemakmuran dan penyampaian perkhidmatan yang lebih lancar.

Sudah terbukti pewujudkan kekayaan dan kemakmuran mempunyai impak langsung ke atas peningkatan tahap keselamatan di sesebuah negara dan wilayah berkenaan, katanya.

"Oleh itu, pelabur di Afghanistan bukan sahaja akan memperoleh ganjaran menerusi pulangan yang ketara ke atas pelaburan mereka, malah mereka turut memain peranan penting dalam memulihkan keamanan dan keselamatan di rantau ini," kata Rassoul.

Beliau berkata kerajaan yang mesra perniagaan bukan sahaja menyediakan insentif berkesan, malah menyediakan peluang yang lebih baik untuk usaha sama awam-swasta (PPP).

Akses kepada tanah, tenaga kerja mahir dan sumber kewangan, akan meningkat dengan ketara, katanya.

Kekayaan sumber mineral dan hidrokarbon Afghanistan sahaja dianggarkan bernilai antara US$1 trilion dan US$3 trilion, manakala infrastruktur pengangkutan dan tenaga serta kawal aturan alam sekitar kini diberikan perhatian menerusi PPP. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain