suria

736 Warganegara Indonesia Terlibat Kes Dadah Di Luar Negara

JAKARTA: Warganegara Indonesia yang terlibat dalam kes dadah di luar negara berjumlah 736 orang dan mereka sedang menunggu proses undang-undang di negara yang berkenaan.

Ketua Badan Narkotik Nasional (BNN) Gories Mere berkata selain itu, sejumlah 83 orang lagi warganegara Indonesia menerima hukuman penjara seumur hidup kerana kesalahan dadah di luar negara.

Baru-baru ini, lapan warganegara Indonesia ditangkap di Portugal kerana menyeludup dadah sebanyak 1.5 tan melalui kapal, katanya di Makassar, Selasa.

Gories berkata BNN sentiasa bekerjasama dengan jaringan antarabangsa untuk memerangi dan membanteras sindiket dadah sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Usaha ini dilakukan dengan meningkatkan peranan institusi di peringkat kementerian, gabenor, kerajaan tempatan dan pertubuhan sosial kemasyarakatan," katanya sambil menambah bahawa usaha pemulihan terhadap penagih di pusat pemulihan dadah turut dipertingkatkan.

Sementara itu, Gabenor Yogyakarta Sri Sultan Hamengku Buwono X berkata pada masa ini ada sejumlah kira-kira 68,980 penagih dadah di provinsi itu.

"Pengedaran dadah di Yogyakarta cukup memprihatinkan. Daripada penelitian Badan Narkotik Nasional dan Universiti Indonesia, 2.72 peratus daripada jumlah penduduk provinsi Yogyakarta dikatakan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah," kata Sultan pada upacara peringatan Hari Anti Dadah Antarabangsa 2012 di Sleman, Yogyakarta.

Katanya daripada jumlah itu, kumpulan usia 10 hingga 59 tahun, dan mahasiswa tercatat sebagai kumpulan terbesar dan dadah yang mereka gunakan ialah daripada jenis ganja serta syabu. - BERNAMA

Artikel Lain