suria

AirAsia Berpindah Ke Lapangan Terbang Don Mueang Mulai 1 Oktober

BANGKOK: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia akan memindahkan operasi penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi ke Lapangan Terbang Don Mueang, yang kedua-duanya terletak di ibu negara, bermula 1 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia, Tasapon Bijleveld berkata hari ini pemindahan itu adalah selaras dengan pelan pertumbuhan syarikat penerbangan itu di samping menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

"Pemindahan itu boleh menyelamatkan syarikat penerbangan ini beratus-ratus juta Baht untuk bahan api setiap tahun kerana ruang udara Lapangan Terbang Don Mueang kurang padat dan laluan teksi pesawat lebih singkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi," katanya.

Thai AirAsia mengunjurkan memberi perkhidmatan kepada lapan juta penumpang penerbangan domestik dan antarabangsa pada tahun ini dan kapasiti itu dijangka meningkat sembilan juta penumpang tahun depan.

Lapangan Terbang Don Mueang mengendalikan 40,903 penerbangan dengan 3.4 juta penumpang pada 2011 manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi 299,566 penerbangan dengan 47.9 juta penumpang tahun lepas walaupun ia direka bentuk untuk mengendalikan 45 juta penumpang setahun.

Dalam usaha mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, kerajaan memutuskan bahawa Lapangan Terbang Don Mueang beroperasi untuk penerbangan kos rendah dan domestik.

Kerajaan juga membuat keputusan atas sebab-sebab strategik dengan membenarkan lapangan terbang alternatif beroperasi di sepanjang lapangan terbang utama di ibu kota ini.

Lapangan Terbang Thailand (AoT) menawarkan diskaun fi yang besar termasuk 95 peratus pengurangan ke atas fi untuk pesawat berlepas dan pendaratan, pengurangan fi bagi perkhidmatan mendaftar di kaunter serta sewa pejabat dalam usaha menarik syarikat-syarikat penerbangan berpindah ke Lapangan Terbang Don Mueang.

Hanya dua syarikat penerbangan tempatan, Nok Air dan Orient Thai yang beroperasi di Lapangan Terbang Don Mueang pada masa ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain