suria

Ahli Akademik Minta Soal Budaya Mandailing Tidak Dijadikan Masalah

JAKARTA: Seorang pemerhati dan ahli akademik bidang etnomuzikologi di sini, Selasa, meminta kerajaan dan masyarakat Indonesia supaya tidak menjadikan sebagai masalah berhubung kenyataan bahawa tarian Tor Tor dan Gordang Sambilan merupakan sebahagian daripada budaya komuniti yang ada di Malaysia.

"Mandailing sebagai komuniti Melayu di Malaysia, memang memiliki budaya tari Tor Tor dan Gordang Sambilan, jadi apa dan di mana salahnya," Rizaldi Siagian berkata seperti yang dipetik agensi berita ANTARA, Selasa.

Rizaldi berkata orang Mandailing yang telah menjadi sebahagian daripada salah satu komuniti di Malaysia juga berhak untuk menyatakan kebudayaan mereka.

"Ini hak kebudayaan yang tidak boleh dilarang. Malaysia sebagai negara tempat mereka bernaung, jelas harus melindungi hak masyarakatnya," katanya.

Beliau juga menekankan bahawa budaya adalah sebahagian daripada warisan suku bangsa, bukan negara, sehingga tidak perlu menjadikannya sebagai masalah negara.

"Suku bangsalah yang memiliki budaya dan kultur. Dan kultur dapat tersebar luas bila masyarakatnya juga tersebar," katanya.

Rizaldi memberikan contoh dengan satu andaian: "seperti komuniti Jawa yang menetap di London ingin melestarikan budaya Jawa meskipun mereka sudah lama tinggal di London. Ini sama halnya dengan masyarakat Melayu Mandailing yang juga ingin melestarikan budayanya."

"Jangan salah kaprah (salah anggap) akan persoalan budaya ini. Seharusnya hal ini juga tidak perlu dibesar-besarkan dan dipermasalahkan, kerana memang tidak ada masalah dalam hal ini," kata Rizaldi.

Tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan masyarakat Mandailing menjadi isu yang hangat dibahaskan oleh media di Indonesia apabila Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 14 Jun di Kuala Lumpur menyatakan bahawa tarian itu yang diamalkan oleh masyarakat Mandailing di Malaysia akan diiktiraf sebagai salah satu cabang warisan negara Malaysia.

Pelbagai pihak di Indonesia curiga dengan langkah yang akan diambil oleh Malaysia dan mendakwa kononnya Malaysia ingin mendaftarkan kebudayaan masyarakat Mandailing itu sebagai milik Malaysia.

Malaysia telahpun memberi penjelasan kepada Kedutaan Besar Indonesia di Kula Lumpur bahawa pendaftaran itu bukan bermaksud untuk menyatakan bahawa budaya itu milik Malaysia tetapi sebagai budaya masyarakat Mandailing di Malaysia, yang asal usulnya dari Mandailing, Sumatera Utara, Indonesia.

Dr Rais dalam kenyataannya pada 14 Jun itu berkata seni tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan masyarakat Mandailing itu akan didaftarkan mengikut Seksyen 67 Akta Warisan Kebangsaan 2005, dengan syarat masyarakat Mandailing mesti mengadakan pertunjukan berkala iaitu tarian dan paluan gendang di pelbagai pertunjukan di khalayak ramai.

Pengiktirafan itu dimohon dan diperjuangkan sekian lama oleh masyarakat Mandailing di Malaysia.

Masyarakat Mandailing telah menetap di Malaysia selama 200 tahun iaitu sebelum wujudnya negara Indonesia dan negara Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain