suria

Pengasas Salim Group Indonesia Meninggal Dunia Pada Usia 97

Soedono Salim
Soedono Salim
Soedono Salim

JAKARTA: Liem Sioe Liong, yang menggunakan hubungan baik beliau dengan bekas pemimpin diktator Suharto untuk membina perniagaan minyak kacang tanah secara kecil-kecilan sehingga menjadi konglomerat di Indonesia, Salim Group, meninggal dunia pada umur 97 tahun, menurut kenyataan syarikatnya, Selasa.

Hartawan berbangsa Cina, yang menggunakan nama Indonesia Soedono Salim dan yang kumpulan perniagaannya merupakan salah satu perniagaan terbesar di Asia, meninggal dunia di Singapura pada Ahad, menurut satu kenyataan dari Indofood, salah satu syarikat beliau.

"Salim Soedono yang kita tahu secara peribadi sangat berwawasan, ringkas, merendah diri, gigih, rajin, berdisiplin dan setia," kata kenyataan itu.

Perniagaan Salim Group termasuklah Indofood, pembuat mi terbesar di dunia, telekomunikasi dan ladang kelapa sawit.

'First Pacific' yang berpangkalan di Hong Kong yang mengendalikan perniagaan dalam bidang telekomunikasi dan makanan di lebih daripada 40 buah negara turut termasuk dalam kumpulan ini.

Anaknya, Anthoni Salim yang kini mengetuai empayar perniagaan, telah disenaraikan oleh Forbes pada tahun 2010 sebagai lelaki kelima terkaya di Indonesia, dengan jumlah kekayaan bernilai $3 bilion.

Menteri Pelancongan Mari Elka Pangestu memberi penghormatan kepada Liem: "Indonesia telah hilang perintis dalam bidang keusahawanan yang telah menyumbang kepada pembangunan negara."

Liem datang ke Indonesia dari wilayah Fujian di tenggara China pada tahun 1936 untuk menyertai abang dan abang iparnya di Medan, Sumatera Utara.

Beliau mula menjual bekalan perubatan dan barangan lain semasa perang kemerdekaan, Indonesia menentang Belanda, menurut laporan media.

Dalam tempoh tersebut beliau mengenali Suharto, kemudiannya pegawai tentera, sehingga membentuk persahabatan sepanjang hayat, menurut akhbar Jakarta Globe.

50 tahun kemudian, Liem berjaya membina salah satu kumpulan perniagaan yang paling berjaya di negara ini.

Berikutan rusuhan anti-kerajaan pada tahun 1998, yang membawa kepada penggulingan Suharto yang berkuasa kira-kira dalam tempoh tiga dekad, Liem melarikan diri ke Singapura selepas rumahnya diserbu dan digeledah perusuh, meninggalkan urusan harian perniagaan kepada Anthoni Salim.

Pangestu berkata perniagaan beliau telah menyumbang kepada setiap peringkat pembangunan.

"Dalam tempoh awal pembangunan, apabila kita memerlukan simen, beliau memulakan perniagaan simen dan kemudian makanan. "

"Apabila kita memasuki zaman perindustrian, kita perlukan kereta dan perniagaannya berkembang ke dalam bidang automotif, dan kemudian perbankan dan kewangan," katanya.

Liem mempunyai isteri Lie Las Nio, dan empat orang anak - Albert Halim, Andree Halim, Anthoni Salim dan Mira Salim.

Artikel Berikut

Artikel Lain