suria

Bekas Ketua Pengarang Didakwa Di Britain

Rebekah Brooks dan suaminya, Charlie Brooks meninggalkan Mahkamah Tinggi London selepas memberi keterangan.
Rebekah Brooks dan suaminya, Charlie Brooks meninggalkan Mahkamah Tinggi London selepas memberi keterangan.
Rebekah Brooks dan suaminya, Charlie Brooks meninggalkan Mahkamah Tinggi London selepas memberi keterangan.

LONDON: Bekas Ketua Pengarang akhbar News of The World, Rebekah Brooks, suaminya dan empat lagi yang terlibat dalam skandal penggodaman telefon bimbit telah didakwa atas kesalahan menganggu perjalanan pengadilan.

Brooks adalah orang kepercayaan taikun media, Rupert Murdoch yang menerbitkan News of The World yang berusia lebih seratus tahun itu.

Murdoch telah pun menutup penerbitan akhbar berkenaan sebaik sahaja skandal penggodaman telefon bimbit oleh para wartawannya terbongkar tahun lalu.

Pengumuman mengenai pendakwaan tersebut telah dibuat oleh Alison Levitt, iaitu penasihat kanan undang-undang pejabat Pendakwaraya London.

Brooks, yang jawatan terakhirnya ialah sebagai ketua pegawai eksekutif News International, iaitu syarikat induk media milik Murdoch di Britain bersama-sama suaminya telah mengkritik keputusan pihak pendakwaraya untuk mendakwa mereka.

Mereka menyifatkannya sebagai keputusan yang lemah dan tidak adil.

Selain mereka berdua, empat lagi yang turut didakwa ialah pembantu peribadi Brooks, Cheryl Carter; ketua keselamatan News International, Mark Hanna; pemandu Brooks, Paul Edwards dan Daryl Jorsling, iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap kawalan keselamatan kepada Brooks.

Brooks dan suaminya telah pun ditahan pada Mac lalu berhubung skandal ini tetapi kemudiannya dibebaskan atas jaminan polis.

Beliau kemudiannya sekali lagi ditahan pada Julai tahun lalu atas dakwaan lain tetapi berkaitan dengan skandal penggodaman telefon bimbit beberapa selebriti termasuklah ahli-ahli politik.

Brooks terpaksa melepaskan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif News International Julai tahun lalu selepas pihak pengurus mengambil keputusan drastik menutup akhbar News of the World ekoran kecaman awam setelah akhbar itu didapati cuba menggodam telefon bimbit seorang kanak-kanak sekolah yang diculik dan kemudian dibunuh.

Akhbar itu adalah akhbar tabloid mingguan paling tua dan paling popular di Britain dengan laporan pelbagai jenis skandal dan siasatan dalaman berhubung isu-isu semasa dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain