suria

Ibu Bapa Terpaksa Banting Tulang Biayai Pendidikan Anak Di Universiti

JAKARTA: Ar-Raudah, anak perempuan bongsu Rasyidin, memperoleh ijazah daripada sebuah universiti awam Jawa Barat di Bandung setelah menamatkan pengajian dengan pembiayaan bapanya.

Kalaulah tidak kerana kesanggupan bapanya yang bekerja di sebuah kilang kecil membuat pakaian membanting tulang untuk mencari pendapatan tambahan bagi membiayai pengajiannya, mungkin gadis ini tidak berpeluang mendapat segulung ijazah seperti yang diimpikannya.

Menginsafi kesempitan hidup yang mereka alami dan untuk membalas pengorbanan bapanya, Ar-Raudah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan bapanya berbangga dengan pencapaiannya.

Memandangkan pendidikan tinggi di Indonesia memerlukan perbelanjaan besar kerana kerajaan tidak menyediakan pinjaman pendidikan, manakala biasiswa juga begitu terhad jumlahnya, sudah menjadi perkara biasa bagi ibu bapa seperti Rasyidin mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai pelajaran anak masing-masing di negara 237 juta penduduk ini.

Malah, sesetengah ibu bapa seperti yang terdapat di Sumatera, terpaksa menjual kerbau lembu untuk mendapatkan wang bagi melunaskan yuran pengajian anak mereka di peringkat universiti.

Pelajar Indonesia yang mendapat biasiswa, sama ada daripada badan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Kebudayaan, kerajaan wilayah atau syarikat milik kerajaan, begitu terhad jumlahnya.

Contohnya, keutamaan kerajaan pusat sekarang ialah memberi biasiswa hanya kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Prof Musliar Kasim di Mataram, ibu wilayah Nusa Tenggara Barat (NTB), baru-baru ini, pelajar cemerlang daripada keluarga miskin memang layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

"Tiada sebab pelajar cemerlang daripada keluarga miskin tidak melanjutkan pelajaran di universiti," katanya.

Musliar berkata kerajaan, melalui Direktorat Jenderal Pendidikan Tinggi, kini melaksanakan pemberian biasiswa dikenali sebagai "Bidik Misi" kepada pelajar yang mendapat keputusan baik dalam pelajaran.

Melalui program biasiswa ini, setiap pelajar akan menerima Rp600,000 (RM214) sebulan atau Rp2.4 juta (RM857) bagi setiap semester.

Pada 2012, 30,000 pelajar universiti awam akan menerima biasiswa Bidik Misi.

Pelajar yang dipertimbangkan untuk menerima biasiswa ini mestilah berusia tidak kurang 21 tahun, manakala pendapatan kasar ibu bapa mereka pula tidak lebih Rp3 juta (RM1,071) sebulan.

Sementara itu, biasiswa yang disediakan kerajaan wilayah begitu terhad jumlahnya.

Gabenor Gorontalo Rusli Habibie baru-baru ini berkata Perkhidmatan Pendidikan Gorontalo akan memilih 10 pelajar daripada sekolah tinggi, sekolah tinggi agama dan sekolah vokasional untuk diberi biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Habibie berkata 10 pelajar terbaik tahun ini perlu membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian di Jerman kerana tujuan biasiswa itu diberi ialah untuk melahirkan lebih ramai saintis yang akan berkhidmat di Gorontalo.

Katanya belum ada penduduk Gorontalo yang menyandang jawatan penting atau memperoleh kepakaran daripada syarikat yang beroperasi di Gorontalo, wilayah yang berjiran dengan Sulawesi Utara.

"Sungguh menyedihkan apabila penduduk tempatan hanya menjadi pekerja peringkat bawahan seperti dalam perkhidmatan keselamatan dan pembersihan, tanpa memegang jawatan penting di wilayah sendiri," katanya.

Gabenor itu berazam untuk mengubah keadaan sedia ada dengan melahirkan lebih ramai profesional yang terdiri daripada anak jati Gorontalo.

Habibie berkata Jerman menjadi pilihan kerana pendidikannya yang berkualiti tinggi serta kesediaan negara itu memberi biasiswa kepada pelajar Indonesia.

Biasiswa ini menambah jumlah dana yang disediakan kerajaan wilayah Gorontalo, katanya.

Habibie berharap selepas menamatkan pengajian di Jerman, pelajar berkenaan akan pulang ke tanah air untuk membantu kerajaan membangunkan Gorontalo.

Pelajar Indonesia juga mendapat biasiswa daripada negara lain seperti Jepun, yang menawarkan 140 biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di negara matahari terbit itu bagi tahun akademik 2012.

Pelajar yang terpilih menerimanya termasuk daripada tiga universiti iaitu Universiti Surakarta Sebelas Maret (UNS), Universiti Slamet Riyadi (Unisri) dan Universiti Surakarta Muhammadiyah (UMS), semuanya di Jawa Tengah, kata Duta Besar Jepun ke Indonesia, Yoshinori Katori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain