suria

Tiger Airways, Syarikat Penerbangan Australia Paling Tepat Masa

MELBOURNE: Syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Tiger Airways telah mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat domestik paling tepat masa, kata Biro Infrastruktur, Pengangkutan dan Ekonomi Serantau (BITRE).

Ia berkata yang Tiger mempunyai 89.8 peratus penerbangan yang berlepas pada waktu yang tepat pada bulan Februari, sementara 89.2 peratus daripada kesemua penerbangan tiba pada masa yang tepat.

Keputusan itu lebih baik sedikit pada bulan sebelumnya apabila 89.3 peratus masa berlepas dan 88.6 peratus waktu ketibaan adalah tepat pada masanya, katanya.

BITRE mentakrifkan penerbangan sebagai tepat masa jika ia tiba ataupun berlepas dalam tempoh 15 minit daripada masa ketibaan ataupun berlepas seperti yang dijadualkan.

Tiger merupakan syarikat penerbangan terbaik Australia dari segi prestasi tepat masa sejak November 2011.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu, yang dihentikan perkhidmatannya selama enam minggu pada Jun 2011 selepas pentadbir urus berkata ia memperlihatkan risiko keselamatan, telahpun mengukuhkan secara berperingkat operasi penerbangannya sejak ia diberikan pelepasan untuk menyambung semula penerbangan.

Di belakang Tiger ialah Qantas Airways, yang menyaksikan waktu berlepas tepat masanya jatuh kepada 88.6 peratus daripada 89.1 peratus.

Artikel Lain