suria

32,000 Kediaman Rosak Teruk Akibat Gempa Bumi Kuat Di Mexico

CHILPANCINGO, Mexico: Sekurang-kurangnya 32,000 kediaman rosak teruk dalam kejadian gempa bumi di selatan Mexico tetapi tiada mangsa terbunuh dan hanya 13 orang dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Gabenor Guerrero, Angel Aguirre berkata, laporan awal mengesahkan bahawa 30,000 kediaman rosak dengan 800 daripadanya musnah sama sekali dalam gegaran berukuran 7.4 magnitud itu, Selasa lalu.

Menurut Angel, beberapa penempatan sementara disediakan untuk menempatkan seramai 200 keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Gabenor Oaxaca, Gabino Cue melaporkan kira-kira 2,000 kediaman dan bangunan pejabat kerajaan turut musnah di negeri itu.

Sementara itu, bekalan air turut terputus menyebabkan kira-kira 250,000 penduduk tidak menerima bekalan air mencukupi.

Gempa bumi terbaru itu adalah terkuat menggegarkan Mexico sejak gegaran maut pada 1985 yang membunuh beribu-ribu orang di Bandaraya Mexico.

Artikel Lain