suria

Amah Indonesia Dibayar Tambahan RM108 Sebulan Jika Kerja Tanpa Cuti

JAKARTA: Majikan Malaysia perlu membayar upah lebih masa RM27 sehari bekerja jika memerlukan khidmat pembantu rumah Indonesia pada hari cuti rehat mingguan mereka.

Jika mereka bekerja penuh sebulan tanpa mengambil cuti mingguan, bererti majikan perlu membayar upah lebih masa berjumlah RM108, sebagai tambahan kepada gaji bulanan mereka.

Perkara ini dinyatakan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman di sini.

Beliau berkata mesyuarat Pasukan Petugas Bersama (JTF) Indonesia dan Malaysia menetapkan tangga gaji pembantu rumah Indonesia antara RM600 dan RM800 sebulan namun JFT Indonesia tetap berjuang menetapkan upah minimum RM700.

Dalam satu temu ramah dengan media Malaysia di sini Khamis, Reyna berkata pembantu rumah Indonesia yang akan mula dikirim ke Malaysia bulan depan akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.

Sebagai contoh jika seorang pembantu rumah digaji sebagai pengasuh bayi, tugasnya hanyalah mengasuh bayi dan tidak melakukan kerja-kerja rumah yang lain.

Kesepakatan JTF menetapkan bahawa amah Indonesia mesti mengikut latihan kemahiran dalam empat bidang iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Sebelum dihantar ke Malaysia, pembantu rumah terbabit diwajibkan menjalani latihan kemahiran selama 200 jam yang mengambil masa 21 hari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain