suria

700 Tiket F1 Percuma Untuk Rakyat Thai

BANGKOK: Tujuh ratus tiket F1 Petronas Malaysia Grand Prix 2012 ditawarkan percuma kepada rakyat Thai dan asing di negara ini sebagai usaha menggalakkan pelancongan di Malaysia.

Pengarah Pelancongan Malaysia Pejabat Thailand Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata mereka yang telah membeli tiket penerbangan atau pakej pelancongan ke Malaysia pada hujung minggu grand prix dari 23 hingga 25 Mac layak mendapatkan tiket percuma itu.

"Kami mendapat respon yang baik daripada rakyat Thai, warga asing dan agen pelancongan di negara ini. Kebanyakan tiket telah diberikan dan masih ada kira-kira 100 tiket," kata beliau di sini.

Iskandar Mirza berkata setiap satu tiket grandstand bagi perlumbaan dua hari itu bermula 24 Mac berharga kira-kira RM600.

Pengusaha pelancongan di negara ini menawarkan pakej termasuk sewa hotel, penerbangan dan pindahan dari lapangan terbang ke hotel dan hotel ke Sirkit Antarabangsa Sepang, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain