suria

Calon Malaysia Bagi Jawatan Ketua Pengarah ILO Lawat Beijing

BEIJING: Calon Malaysia bagi jawatan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Dr Jomo Kwame Sundram, melawat Beijing semalam dalam usaha meraih sokongan daripada pihak berkuasa China dan pertubuhan di negara itu.

Dalam lawatan itu, Jomo menemui Naib Menteri Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial, Wang Xiaochu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertubuhan Antarabangsa dan Persidangan di bawah Kementerian Luar, Qian Bo dan setiausaha Persatuan Perdagangan Persekutuan Seluruh China (ACFTU), Jiang Guanping.

Jomo, pakar eknomoni terkenal negara dan dicalonkan oleh kerajaan Malaysia, berkata kesemua pegawai China itu memberi nasihat dan galakan kepadanya dalam usaha melobi jawatan itu.

Kerajaan Malaysia menyifatkan Jomo memiliki kelayakan tertinggi berdasarkan rekod inovasi yang konsisten dan kepimpinan progesif serta menunjukkan komitmen terhadap usaha membela masyarakat dalam bidang sosio ekonomi, dialog sosial dan tripatism.

Jomo, yang kini memegang jawatan Penolong Ketua Setiausaha Bagi Pembangunan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), percaya beliau berkebolehan dalam menangani cabaran kepimpinan ILO.

"Selepas berkhidmat dengan PBB lebih tujuh tahun, saya telah menimba pengalaman yang relevan dan kecekapan," kata Jomo, yang boleh berfasih dalam 10 bahasa, dalam temubual di sini.

"Ini adalah situasi kompleks..anda perlu memperbaiki pentadbiran dan menyediakan visi. Anda perlu juga membina kesepakatan bagi menyokong kedudukan itu. Ini semua merupakan cabaran yang perlu dipikul oleh Ketua Pengarah yang baru," katanya.

Sekiranya dilantik, Jomo akan komited kepada usaha memperkukuhkan peranan peneraju dalam ILO berkaitan isu kelembapan ekonomi semasa dan krisis sosial di mana beliau percaya itu intipati yang akan membezakan beliau dengan calon lain.

"Itu adalah sesuatu yang tiada siapa mempunyai visi yang jelas. ILO perlu mengambil peranan peneraju dalam membawa pemulihan ekonomi inklusif yang mantap dan berkekalan," kata anak kelahiran Pulau Pinang berusia 59 tahun itu.

Jomo berkata beliau juga akan komited dalam memperkasa dan memperluaskan standard ILO yang diamalkan oleh pertubuhan itu lebih 90 tahun serta memperbaiki pengurusan seperti sumber tenaga dan moral khususnya ketika waktu kegawatan apabila operasi perlu lebih berkesan dan produktif.

Katanya ianya akan menjadi satu penerobosan utama untuk rantau Asia dan negara-negara membangun sekiranya beliau dipilih untuk memegang jawatan itu.

"Seperti anda tahu, saya hanya satu-satunya calon Asia dan Asia mewakili lebih 60 peratus warga kerja di dunia tetapi ILO tidak pernah mempunyai Ketua Pengarahnya dari rantau Asia," jelasnya.

Penyandang Ketua Pengarah Juan Somavia dari Chile mencipta sejarah dalam ILO apabila menjadi orang pertama dari negara membangun menduduki jawatan itu.

Tetapi Chile tidak lagi dianggap sebagai negara membangun selepas negara itu menganggotai Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada 2010, katanya. ILO merupakan satu-satunya agensi PBB berdasarkan tiga pihak iaitu kerajaan, pekerja dan majikan.

Ia bertanggungjawab menggalakkan pekerjaan, suasana kerja yang baik, menghormati hak pekerja, kesaksamaan gender dalam bidang pekerjaan dan keselamatan sosial di peringkat global.

Pemilihan Ketua Pengarah ILO akan berlangsung di Geneva pada 28 Mei ini di mana perwakilan dari 28 buah kerajaan dan 14 perwakilan, masing-masing dari pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja, akan mengundi pada pemilihan itu. - BERNAMA

Artikel Lain