suria

Indonesia Bincang Soal Pengiriman Pasukan Pemerhati

JAKARTA: Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa pada Isnin berbincang dengan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hor Namhong, di Phnom Penh mengenai isu penghantaran pasukan pemerhati Indonesia ke sempadan Kemboja-Thailand.

Mereka antara lain membahaskan penyempurnaan terma rujukan penghantaran pasukan pemerhati itu sesuai dengan keputusan Mahkamah Antarabangsa pada 18 Julai, tahun lalu, selaras dengan arahan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bagi mencari penyelesaian kepada konflik di sempadan Kemboja dan Thailand.

"Kita bersyukur keadaan di sempadan Kamboja dan Thailand pada masa ini jauh lebih stabil dibandingkan pada masa yang sama tahun lalu," katanya dipetik oleh Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam kenyataan di sini Isnin.

Menteri Luar Indonesia juga dalam masa yang terdekat ini akan membahas perkara yang sama dengan Menteri Luar Thailand, untuk memuktamadkan rancangan pengiriman pasukan pemerhati Indonesia itu.

Selain isu itu, kedua-dua menteri itu turut membincangkan pelbagai isu bilateral dan serantau.

Mereka sepakat untuk meningkatkan kerjasama bilateral Indonesia-Kemboja, termasuk mengambil langkah susulan terhadap kesepakatan yang dihasilkan dalam pertemuan Presiden Indonesia dengan Perdana Menteri Kamboja semasa Sidang Kemuncak Asean pada November lalu di Bali.

"Indonesia dan Kamboja antara lain akan menumpukan kepada usaha kerjasama di bidang keselamatan makanan, perhubungan udara dan pelaburan di sektor telekomunikasi," kata Marty.

Bagi memantau perkembangan kerjasama di semua sektor itu, kedua-dua menteri itu sepakat untuk menggiatkan semula Suruhanjaya Bersama Indonesia-Kemboja pada tahun ini, setelah tidak aktif sejak 2006. BERNAMA

Artikel Lain