suria

64% Pengundi Pilih Putin Sebagai Presiden Untuk Kali Yang Ketiga

MOSCOW: Perdana Menteri, Vladimir Putin memperolehi 64 peratus undi untuk menewaskan pencabarnya yang lain dalam pilihan raya presiden negara itu yang berlangsung semalam (Ahad).

Putin memperolehi 63.75 peratus undi sementara seteru dan pencabar terdekatnya, iaitu Pemimpin Parti Komunis Rusia, Gennady Zyuganov hanya sekadar mampu memperolehi 17.19 peratus undi.

Angka tersebut diumumkan oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Rusia, Vladimir Churov.

"Oleh kerana jumlah peratusan undi adalah amat jelas dengan jurang yang besar, maka saya mengumumkan bahawa tidak perlu diadakan lagi undian peringkat kedua," ujarnya.

Undang-undang Rusia menetapkan, pemilihan pusingan kedua akan diadakan sekiranya tidak ada pemenang yang jelas iaitu yang memperolehi undi majoriti.

Tempat ketiga ialah Mikhail Prokhorov seorang jutawan yang hanya mampu meraih 7.82 peratus undi.

Manakala pemimpin ultra-nationalis, Vladimir Zhirinovsky, yang memberi saingan sengit dalam pilihan raya yang lalu sekadar mendapat 6.23 peratus iaitu di tempat yang keempat.

Jumlah yang keluar mengundi adalah sekitar 65.3 peratus jatuh hampir 5 peratus berbanding dengan pilihan raya yang lalu tetapi bagaimanapun ia adalah jauh lebih besar daripada mereka yang keluar mengundi dalam pilihan raya parlimen, Disember tahun lalu.

Rusia di bawah pemerintahan demokrasi mengamalkan sistem yang hampir sama dengan Amerika iaitu memilih presiden dan anggota dewan rakyat dalam dua pilihan raya yang berasingan.

Presiden berkuasa membentuk kerajaan dan menentukan dasar luar serta pertahanan manakala anggota parlimen membentuk dan meluluskan undang-undang.

Dalam pilihan raya presiden ini, Putin sebenarnya gagal untuk memperolehi separuh daripada pengundi di Moscow - hanya sekadar memperolehi 47.22 peratus sementara Prokhorov berada di tempat kedua dengan 20.21 peratus undi.

Tetapi undi dari wilayah bergolak Chechnya mendapati Putin memperolehi hampir kesemua undi - 99.73 peratus daripada 99.59 peratus yang keluar mengundi.

Ini adalah kali ketiga Putin akan mengangkat sumpah sebagai presiden Rusia.

Kali pertama ialah apabila beliau mengambil alih jawatan itu (tanpa bertanding) pada tahun 2000 daripada Boris Yeltsin yang bersara kerana masalah kesihatan.

Pada tahun 2004, beliau bertanding untuk jawatan presiden buat pertama kali dan menang dengan memperolehi lebih 70 peratus undi.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, Putin tidak layak untuk mempertahankan jawatannya lagi kerana undang-undang pasca Soviet Rusia tidak membenarkan seorang penyandang jawatan menyandang kerusi presiden untuk tempoh selama lebih daripada dua penggal berturut-turut.

Putin meletakkan Dmitry Medvedev yang ketika itu adalah perdana menteri Rusia sebagai calon mewakili partinya dan menang.

Selepas kemenangannya itu, Medvedev telah melantik Putin sebagai perdana menteri pula.

Sebagai perdana menteri, Putin menjalankan urusan harian pentadbiran negara.

Oleh kerana Rusia tidak memperuntukkan jawatan naib presiden maka perdana menteri adalah orang kedua paling berkuasa di dalam negara selepas presiden.

Sekarang dunia sedang ternanti-nanti apakah Putin pula akan melantik Medvedev sebagai perdana menteri untuk kali yang kedua.

Artikel Sebelum

Artikel Lain