suria

Indonesia Runding Semula Bayaran Royalti Yang Dibayar Syarikat Perlombongan

JAKARTA: Indonesia mahu merundingkan semula bayaran royalti yang dibayar oleh syarikat perlombongan kepada kerajaan, yang kini dianggap terlalu rendah.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Pengguna, Hatta Rajasa pada Selasa menggesa rundingan semula bayaran royalti oleh syarikat perlombongan utama milik Amerika Syarikat, Freeport Indonesia dan Newmont Nusa Tenggara.

Bayaran royalti oleh syarikat perlombongan, terutama Freeport, yang hanya satu peratus daripada jumlah jualan kasarnya, terlalu kecil, katanya dipetik oleh akhbar harian Jakarta Globe pada Rabu.

Kerajaan katanya sedang berunding mengenai kontrak dengan Freeport, dan mahu kontrak itu dinilai semula bersama pelombong yang lain.

Freeport Indonesia, unit tempatan Freeport-McMoRan Copper & Gold, pengeluar tembaga terbesar dunia yang disenarai, mengurus operasi lombong emas dan tembaga di Papua, wilayah di bahagian paling timur di Indonesia.

Newmont Nusa Tenggara (NTT) ialah unit Newmont Mining Indonesia.

NTT, yang menandatangani kontrak dengan kerajaan pada 1986 untuk mengurus lombong emas dan tembaga Batu Hijau di Nusa Tenggara Barat, membayar royalti satu hingga dua peratus daripada jumlah pengeluaran emasnya.

Hatta bagaimanapun tidak menyatakan jumlah royalti yang akan dikenakan ke atas kedua-dua syarikat itu.

Laporan itu berkata peraturan kerajaan 2003 No. 45 mengenai tarif hasil negeri bukan cukai yang terpakai di Kementerian Tenaga - menetapkan syarikat perlombongan membayar empat peratus royalti tembaga, 3.25 peratus perak dan 3.75 peratus emas.

Namun sistem perundangan Indonesia tidak memperakui prinsip retroaktiviti, yang bermakna terma yang dipersetujui dalam kontrak sebelum 2003, tidak terpakai.

Jurucakap Freeport Jakarta, Ramdani Sirait, berkata pelombong membayar US$2.4 bilion kepada kerajaan Indonesia tahun lepas.

Ramdani berkata Suara Pembaruan, peneritan sekutu Jakarta Globe, melaporkan syarikatnya membayar US$1.6 bilion cukai korporat dan cukai pendapatan pekerja.

Levi turut dikenakan oleh kerajaan tempatan berjumlah US$397 juta, royalti US$188 juta dan pembayaran dividen kerajaan sebanyak US$202 juta. - BERNAMA

Artikel Lain