suria

Ekstradisi:Bangkok Hantar Permohonan Rasmi Kepada Malaysia

BANGKOK: Bangkok secara rasmi menghantar permohonan ekstradisi seorang rakyat Iran yang merupakan suspek dalam tiga kejadian letupan bom di bandar raya ini minggu lepas.

Jurucakap Menteri Luar Thai Thani Thongpakdi berkata surat permohonan itu dihantar ke kedutaannya di Kuala Lumpur, Selasa untuk diajukan kepada pihak berkuasa Malaysia.

Bangkok memohon ekstradisi lelaki Iran berusia 31 tahun itu yang ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang Rabu lepas oleh polis Malaysia ketika dia ingin berlepas ke Tehran selepas tiba dengan penerbangan dari Bangkok, malam sebelumnya.

Polis Malaysia berkata suspek itu ditahan di bawah Akta Imigresen dan untuk membantu siasatan mengenai kegiatan pengganas berhubung kejadian letupan bom di Thailand.

Tiga letupan bom menggegarkan bandar raya ini Selasa lepas dan mencederakan empat rakyat Thai serta seorang rakyat Iran yang merupakan pengebom itu.

Lima rakyat Iran disyaki terlibat dalam kejadian itu dan polis Thai sehingga kini menahan dua daripada mereka, termasuk suspek yang cedera dan kini dirawat di sebuah hospital di sini.

Dua lagi suspek rakyat Iran, termasuk seorang wanita, telah meninggalkan negara ini sebelum kejadian letupan itu.

Bangkok masih kekal menyatakan bahawa kes itu bukan serangan pengganas tetapi satu plot untuk membunuh individu tertentu.

Letupan pertama berlaku di rumah yang disewa suspek di Jalan Sukhumvit 71 di sini manakala dua lagi bom dibaling ketika seorang daripada suspek cuba melarikan diri. - BERNAMA

Artikel Lain