suria

Gabenor Muda Menang Pencalonan Lawan Chavez

CARACAS (Venezuela): Seorang gabenor muda lagi kacak bagaikan bintang filem bernama Henrique Capriles pada Isnin diisytiharkan sebagai pemenang mewakili barisan pembangkang menentang Presiden Hugo Chavez dalam pilihan raya presiden Venezuela 7 Oktober depan.

Inilah buat pertama kalinya dalam sejarah politik Venezuela, satu pemilihan awal bagi menentukan calon tunggal pembangkang untuk menentang penyandang jawatan presiden diadakan.

Capriles, 39, telah diisytiharkan memperolehi 1.8 juta undi mengatasi pesaing terdekatnya, Gabenor Pablo Perez, yang mendapat 867,000 undi, kata Presiden Suruhanjaya Pilihan Raya, Teresa Albanes.

Walaupun Capriles baru berusia 39 tahun tetapi beliau telah menyertai politik ketika berusia 25 tahun.

Sebanyak 2.9 juta orang telah mengambil bahagian dalam undian ini yang bermula Ahad.

Perez dengan segera menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahaginya kepada Capriles.

Chavez, 57, bertanding untuk penggal ketiga. Di Venezuela, satu penggal adalah untuk tempoh enam tahun.

Beliau dikenali sebagai seorang presiden yang menghulurkan tangan persahabatan dengan siapa sahaja yang menentang Amerika Syarikat.

Antara sekutu utama Chavez ialah Cuba dan Iran.

Artikel Lain