suria

Bumbung Rumah Sewa Runtuh, 11 Pelajar Malaysia Di Jakarta Utara Selamat

JAKARTA: Kira-kira 30 mahasiswa wanita termasuk 11 mahasiswa dari Malaysia terselamat daripada sebarang kecederaan apabila bumbung bahagian hadapan rumah sewa yang mereka diami di Grogol, Jakarta Utara, di sini tiba-tiba runtuh tengah malam Sabtu.

Kejadian di rumah dua tingkat di Jalan Tawakal 6, A-B, Grogol itu dipercayai berlaku kerana tiang penyangga kayu bahagian hadapan rumah itu yang reput tidak lagi mampu menampung beban sehingga mengakibatkan bumbung bahagian depan rumah itu runtuh.

Atase Pendidikan yang juga Setiausaha l (Pendidikan) Education Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Ludinata Misnun berkata runtuhan bumbung itu telah menutup pintu keluar rumah berkenaan sehingga memaksa para penghuni memecah tingkap di salah sebuah bilik di tingkat bawah untuk keluar menyelamatkan diri. Hanya bahagian hadapan bumbung rumah itu yang runtuh, katanya di sini pada Ahad.

Kira-kira 30 mahasiswa wanita Universiti Trisakti, termasuk 11 dari Malaysia menyewa bilik-bilik yang terdapat di rumah itu.

Penghuni lain ialah mahasiswa dari Indonesia.

Ludinata berkata, berikutan kejadian itu, kesemua 11 pelajar Malaysia terbabit kini menumpang di rumah rakan-rakan pelajar Malaysia yang lain di sekitar kampus Universiti Trisakti.

Katanya, pihaknya dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia akan menempatkan sementara 11 pelajar terbabit di Malaysia Hall Jakarta agar mereka lebih selesa, lebih-lebih lagi sebahagian besar pelajar itu akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan.

Beliau berkata, pihaknya dan kedutaan akan terus memantau keadaan mahasiswa Malaysia di republik ini bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terus terpelihara. - BERNAMA

Artikel Lain