suria

10 Cedera Serangan Bom Di Yala

BANGKOK: Renjer terus menjadi sasaran serangan puak pemberontak di selatan Thailand, dan insiden terbaru menyaksikan dua anggota pasukan itu serta lapan sukarelawan cedera dalam satu serangan bom di Yala pada Isnin.

Jurucakap polis berkata semua mangsa sedang meronda dengan menaiki sebuah pikap di daerah Bannang Sata apabila sebutir bom yang ditanam di tepi jalan meletup pada kira-kira 1.30 petang.

Kedua-dua anggota renjer itu dikenali sebagai Koperal Boonrit Boonkhan dan Koperal Weerayuth Kultammo manakala sukarelawan terbabit ialah Sakchai Senanoi, Wonlop Maneeworn, Koson Khienthong, Manuschai Panchon, Satien Tucharoon, Anusorn Petkongthong, Niya Ee dee Samaae dan Kriengkrai Kongsaeng.

Bom itu dipercayai diletupkan anggota kumpulan militan, kata jurucakap polis.

Renjer menjadi sasaran serangan di selatan Thailand sejak kebelakangan ini berikutan insiden empat orang awam didakwa mati ditembak anggota pasukan itu di Pattani lewat bulan lepas.

Lebih 4,000 orang maut sejak puak pemisah disyaki melancarkan semula gerakan bersenjata bagi memperjuangkan kemerdekaan tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. BERNAMA

Artikel Lain