LONDON: Ratu Elizabeth II pada Isnin merayakan ulang tahun pemerintahannya yang ke-60 dan berikrar akan terus memerintah dengan adil selagi terdaya.
Baginda menaiki takhta enam dekad yang lalu selepas kematian bapanya, Raja George VI pada 6 Februari 1952.
Ratu yang berusia 85 tahun itu juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyatnya kerana sokongan yang tidak berbelah bagi yang mereka berikan sepanjang pemerintahannya dan juga suaminya Putera Philip yang kini sudahpun berusia 90 tahun.
Ratu Elizabeth menaiki takhta ketika berusia 25 tahun pada 1952.
Sewaktu kemangkatan bapanya, Ratu Elizabeth sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Kenya.
Sekembalinya baginda ke Britain, baginda telah disambut oleh Perdana Menteri Winston Churchill.
Dan selepas 60 tahun dan perdana menteri bersilih ganti, baginda Ratu masih kekal di atas takhta memerintah sebuah empayar yang suatu ketika dahulu menakluki hampir sebahagian besar dunia ini.


