THE HAGUE: Keputusan Mitsubishi untuk menutup kilangnya di Eropah menjelang hujung tahun ini telah dilihat sebagai satu malapetaka besar untuk para pekerja industri kereta khususnya di Belanda.
Ini kerana kilang pengeluaran terbesar Mitsubishi di Eropah terletak di selatan Belanda.
"Kilang ini adalah satu-satunya kilang di Belanda. Ia ibarat permata. Menutupnya sama lah seperti mengundang malapetaka buat kami semua," kata Henk van Rees, jurucakap Kesatuan Sekerja FNV Bongenoten yang mewakili pekerja industri kereta.
Menurut beliau lagi, pada waktu ini yang mana kadar pengangguran berada pada tahap yang masih tinggi, adalah sukar untuk para pekerja mencari pekerjaan baru.
Van Rees menambah, apabila kilang Mitsubishi ini ditutup kelak, sekurang-kurangnya 1,500 orang akan kehilangan pekerjaan.
Mitsubishi Motors mengeluarkan model Colt sub-kompak dan model SUV Outlander di kilang milik penuhnya di Born, kira-kira 180 kilometer ke selatan Amsterdam.
Mitsubishi dijangka mengalami kerugian operasi sehingga AS$287 juta menjelang tahun kewangan berakhir Mac depan untuk wilayah Eropahnya ekoran penjualan yang menurun.
Ini merupakan penutupan kilang kereta yang pertama di Eropah oleh pengeluar kereta utama Jepun.
Mitsubishi Motors kini sedang mengalih perhatiannya ke pasaran baru di asia.
Bagaimanapun Mitsubishi menegaskan bahawa ia tetap akan meneruskan eksport keretanya ke Eropah tetapi dari kilang pengeluaran di Thailand dan Jepun sendiri.
Output dari kilang di Belanda yang memulakan operasinya pada 1991 telah menurun dari kapasiti asalnya iaitu 200,000 unit kereta setahun.
Pada tahun 2010 ia hanya berjaya menghasilkan 50,000 buah unit sahaja.


