suria

Britain Rayakan Ulang Tahun Ke-200 Charles Dickens

LONDON: Britain pada Selasa akan merayakan ulang tahun kelahiran tokoh kesusasteraan ulung Inggeris,Charles Dickens yang ke-200.

Beliau dilahirkan pada 7 Februari 1812.

Dickens, adalah salah seorang penulis Inggeris yang paling sempurna pernah dilahirkan oleh negara itu yang mana novel-novelnya bukan sahaja karya klasik yang masih dibaca oleh generasi hari ini tetapi masih menjadi buku teks di sekolah-sekolah.

Beberapa majlis sambutan bagi memperingatinya telah pun dirancang termasuklah di bandar kelahirannya iaitu Portsmouth, yang terletak di pantai selatan England.

Putera Charles, yang merupakan pewaris takhta kerajaan Great Britain dan pelakon popular Inggeris, Ralph Fiennes merupakan sebahagian daripada tetamu kehormat yang dijemput ke majlis membaca doa di kubur Dickens yang terletak di kompaun bangunan Parlimen - Westminster Abbey di sini.

Salah satu karya agung Dickens, "Great Expectations" - yang suatu ketika dahulu pernah menjadi buku wajib kesusasteraan Inggeris di sekolah-sekolah Malaysia kini sedang difilemkan dan dibintangi oleh Fiennes sendiri serta Helena Bonham-Carter.

Claire Tomalin, salah seorang penulis biografi Dickens berkata, sehingga ke hari ini tidak ada seorang pun sasterawan Inggeris yang dapat menandingi kehebatan karya Dickens.

"Dickens memiliki tenaga berkarya yang sangat luar biasa. Tiga novelnya yang pertama - The Pickwick Papers, Oliver Twist dan Nicholas Nickleby - diterbitkan secara berkala setiap bulan secara serentak," katanya ketika ditemui oleh wakil AFP.

Ini bermakna ketika Dickens sedang menyiapkan novel The Pickwick Papers beliau juga pada masa yang sama turut menyiapkan novel Oliver Twist.

Jadi setiap bulan Dickens menulis dua buah novel atas judul dan plot yang berbeza serentak.

"Bolehkah sesiapapun membayangkan bagaimana dia boleh menulis sedemikian?," tanya Claire Tomalin.

Sebahagian besar novel Dickens adalah berkisar kepada pengalamannya sendiri ketika kecil dan juga remaja.

Ini termasuklah pada era kanak-kanaknya yang sangat mengembirakan ketika beliau bermastautin di Kent, selatan England, sehinggalah kepada kejadian tragik yang menyaksikan bapanya dipenjarakan kerana hutang yang menyebabkan beliau hidup sengsara dan di dalam kemiskinan.

Pada usia remaja Dickens terpaksa bekerja sebagai buruh di kilang.

Dan ketika berusia 15 tahun, di sebalik persekolahan yang terhad, Dickens berjaya memperolehi pekerjaan sebagai kerana di sebuah firma guaman.

"Apa yang menakjubkan tentang dirinya ialah sembilan tahun kemudian beliau menjadi terkenal kerana novelnya yang berjudul The Pickwick Papers," kata Tomalin lagi.

Jelas Tomalin, Dickens berjaya menghasilkan novel tersebut dengan mempelajari trengkas dan kemudiannya sebagai wartawan mahkamah dan wartawan parlimen.

"Selepas Shakespeare, Dickens adalah pencipta karakter yang terhebat yang pernah disaksikan oleh dunia kesusasteraan," kata Tomalin.

Tidak sepertimana sebahagian besar pengkarya yang lain, Dickens menjadi popular ketika eranya kerana beliau berupaya memberikan apa yang dikehendaki oleh pembaca pada zamannya.

"Beliau menulis tentang kisah kehidupan orang kebanyakan dan membuktikan mereka juga mempunyai kisah-kisah yang menarik sepertimana juga orang kaya,popular dan besar.

"Dickens benar-benar kelakar dan membuatkan orang ketawa kerana tulisannya dan juga pada masa yang sama menangis," ujar Tomalin.

Artikel Sebelum

Presiden Maldives Letak Jawatan

Artikel Lain