suria

Pengeluaran Minyak Indonesia Tidak Capai Sasaran

JAKARTA: Kini wujud kebimbangan bahawa Indonesia tidak akan dapat mencapai sasaran pengeluaran minyaknya sebanyak 950,000 tong sehari (tsh) yang ditetapkan bagi tahun ini, berikutan kekurangan pengeluaran beberapa syarikat minyak pada Januari.

Badan kawal selia minyak dan gas huluan Indonesia, BPMigas melaporkan bahawa pengeluaran minyak negara ini hanyalah 886,508 tsh pada 31 Jan.

Pada akhir 2011, kadar pengeluaran purata negara ini ialah 905,000 tsh, demikian menurut laporan sebuah harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, Jumaat.

Ketua BPMigas, Raden Priyono, berkata ada 36 kontraktor minyak yang gagal mencapai sasaran pengeluaran yang ditetapkan menjelang belanjawan negara 2012, termasuk nama-nama besar seperti Total E&P Indonesie, Chevron Pacific Indonesia (CPI), ConocoPhillips dan China National Offshore Oil Corporation (CNOOC).

"Kita telah menghantar surat amaran kepada kesemua 36 syarikat minyak ini," katanya kepada Suruhanjaya VII Dewan Perwakilan Rakyat, yang mengawal selia tenaga, semasa satu sesi penerangan di Jakarta pada Selasa.

Menurut data-data BPMigas, syarikat Total yang berpangkalan di Perancis menghasilkan hanya 72,200 tsh, dan dengan demikian gagal mencapai sasarannya yang ditetapkan pada 85,800 tsh, manakala pengeluaran CPI yang berpangkalan di AS berjumlah 352,727 tsh, lebih rendah daripada sasarannya berjumlah 357,200 tsh.

CNOOC South East Sumatra (SES) juga gagal mencapai sasarannya iaitu sebanyak 38,000 tsh dan menghasilkan hanya 32,411 tsh manakala pengeluaran ConocoPhillips (Grissik) hanyalah 10,068 tsh, kurang 2,132 tsh berbanding sasaran 12,200.

Harian itu melaporkan bahawa negara ini juga kehilangan hasil minyak disebabkan kegagalan Pertamina EP, anak syarikat firma minyak dan gas yang dikendalikan kerajaan, PT Pertamina, mencapai sasaran pengeluarannya sebanyak 135,000 tsh.

Pengeluaran minyak syarikat itu berjumlah hanya 123,879 tsh.

Pertamina Hulu Energi-West Madura Offshore (PHE-WMO), sebuah lagi anak syarikat Pertamina, juga gagal mencapai sasaran 23,000 tsh tahun ini dengan menghasilkan hanya 11,175 tsh. Pada Mei, Pertamina mengambil alih operasi blok WMO daripada syarikat Korea, Kodeco Energy.

Kesemua 36 syarikat itu hanya menyumbangkan sejumlah 739,491 tsh minyak pada Januari, lebih rendah daripada sasaran 817,423 tsh yang ditetapkan.

Deputi Pengendali Operasi BPMigas, Rudi Rubiandini, menjelaskan bahawa Total gagal mencapai sasarannya kerana rizab yang terbukti di kawasan yang diusahakannya lebih rendah daripada dianggarkan.

Bagi WMO pula, kegagalannya adalah disebabkan oleh kelewatan penyerahan projek daripada pengusaha sebelumnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

31 Terkorban Pengeboman Di Pakistan

Artikel Lain