suria

Simpanan RM10,000 dalam tabung e-wallet lesap! Wanita ini kongsi cara tuntut semula hak daripada bank, desak sampai dapat

Kes kehilangan wang dalam akaun simpanan bank kerap dikongsikan di media sosial sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai. -Gambar hiasan AI

SEJAK kebelakangan ini, kecoh di laman sosial apabila warga maya mendakwa wang simpanan dalam tabung sebuah aplikasi dompet digital (e-wallet) dan perbankan pintar milik sebuah bank hilang secara tiba-tiba tanpa sebarang rekod transaksi. 

Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan ramai, lebih-lebih lagi apabila simpanan berkenaan lazimnya diperuntukkan bagi kegunaan penting seperti kecemasan, bayaran komitmen bulanan atau majlis tertentu.

Di Threads, seorang wanita, mendakwa dia turut menjadi mangsa apabila wang berjumlah RM10,000 yang disimpan di tabung berkenaan lesap begitu sahaja. 

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Storage’ iPhone asyik penuh? Bukan gambar saja punca, ini 5 langkah ‘bersihkan’ telefon anda

Lebih membimbangkan ujarnya, tiada sebarang transaksi keluar direkodkan dalam akaunnya.

Menurut wanita berkenaan, dia mengambil beberapa langkah bagi mendapatkan semula wang tersebut, selain berharap pengalamannya dapat dijadikan panduan kepada orang ramai yang mungkin berdepan situasi sama.

Berikut adalah langkah-langkah yang dikongsikan:

1. Jangan panik terlebih dahulu

Langkah pertama yang dilakukan adalah menyemak penyata akaun serta memastikan sama ada terdapat transaksi keluar.

Dalam kesnya, tiada langsung rekod pengeluaran, sekali gus menjadi petunjuk penting bahawa wang tersebut bukan dipindahkan secara biasa.

2. Hubungi khidmat pelanggan dengan segera

Jangan berlengah untuk terus menghubungi khidmat pelanggan bagi menjelaskan situasi yang berlaku. 

3. Minta kes dipanjangkan kepada pasukan fraud

Langkah ini dianggap penting bagi memastikan sama ada insiden tersebut melibatkan unsur penipuan.

Dalam kesnya, hasil semakan mendapati tiada log masuk daripada peranti baharu, tiada transaksi mencurigakan, dan cubaan transaksi sememangnya gagal.

Namun melegakan apabila kehilangan wang berkenaan bukan akibat scam.

4. Lakukan semua ‘troubleshooting’ yang disarankan

Wanita itu turut mengikuti semua arahan yang diberikan pasukan fraud, termasuk memuat semula aplikasi, log masuk semula serta menyemak tabung simpanan.

Namun, keadaan masih tidak berubah apabila baki kekal kosong.

5. Kunjungi cawangan bank

Pergi ke cawangan bank berhampiran bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Bagaimanapun dia dimaklumkan bahawa akaun tabung aplikasi itu tidak boleh diakses seperti akaun biasa di cawangan, sebaliknya hanya boleh dibantu melalui proses eskalasi kepada ibu pejabat atau pasukan berkaitan.

Mangsa disarankan membuat laporan kepada bank yang berkenaan jika menyedari berlaku kehilangan wang dalam akaun. -Gambar hiasan AI

6. Jangan berdiam diri, terus buat follow-up

Sejak membuat laporan pada 7 Mac, dia beberapa kali membuat follow-up.

Menurutnya, tindakan proaktif amat penting kerana kes mungkin mengambil masa lebih lama jika tiada tindakan susulan.

7. Simpan semua bukti dan dokumentasi

Penting untuk menyimpan bukti seperti tangkap layar jumlah wang sebelum hilang, mesej ralat, paparan baki RM0 serta dokumen lain yang berkaitan sebagai rujukan semasa siasatan.

8. Hantar e-mel kepada bank dan buat laporan kepada Bank Negara Malaysia

Hantar e-mel kepada pihak bank dan pada masa sama membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Jelasnya, tindakan itu bukan untuk menimbulkan konflik, sebaliknya bagi memastikan kes diberi perhatian sewajarnya.

9. Kongsikan pengalaman di media sosial

Perkongsian di platform Threads menjadi titik perubahan apabila ramai pengguna lain tampil berkongsi pengalaman, memberikan nasihat serta membantu mengetengahkan isu tersebut kepada pihak berkaitan.

10. Terus mendesak

Menurutnya, disebabkan wang tersebut amat diperlukan bagi tujuan membayar deposit majlis pertunangan, justeru dia berterusan membuat follow-up bagi mengetahui perkembangan kesnya. 

Hasil daripada usaha berterusan itu, wanita berkenaan memaklumkan wang RM10,000 miliknya akhirnya berjaya dipulangkan dalam tempoh kurang 24 jam selepas perkongsian dibuat di media sosial.

Bagaimanapun wanita berkenaan tidak menyatakan mengapa dan bagaimana wang simpanannya hilang.

Artikel Lain