suria

Kita sahut seruan kerajaan! Dah jumpa cara tanam kangkung supaya subur dan lebat, penghuni apartmen pun boleh buat

Cara penanaman kangkung sebegini sangat sesuai untuk mereka yang menetap di kediaman jenis bertingkat. -Foto TikTok Faizan Dasuki

MENANAM sendiri sayur-sayuran di rumah bukan sahaja lebih selamat, malah mampu membantu menjimatkan perbelanjaan harian, terutama dalam keadaan kos makanan yang semakin meningkat ketika ini.

Tambahan pula, kerajaan baru-baru ini turut menggalakkan rakyat termasuk penjawat awam untuk menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

Ia dilihat sebagai salah satu langkah mengatasi peningkatan kos sara hidup di samping mengukuhkan aspek keterjaminan makanan negara, khususnya bagi tanaman yang cepat mengeluarkan hasil.

Di platform TikTok, seorang individu dikenali sebagai Faizan Dasuki turut berkongsi cara mudah menanam sayur kangkung yang didakwa mampu memberikan hasil tuaian yang 'meriah' dalam tempoh singkat.

Hingga kini perkongsiannya meraih lebih 8.4 juta jumlah tontonan.

Menariknya, kaedah ini tidak memerlukan kawasan tanah yang luas. 

ARTIKEL BERKAITAN: Rebus nasi impit segera pun gagal? Kena cuba teknik 5-30-7, hasilnya padat dan tak lembik

Malah, mereka yang tinggal di kediaman jenis apartmen juga boleh mencuba teknik ini dengan mudah di ruang terhad seperti balkoni.

Berikut merupakan langkah-langkah yang dikongsikan:

1. Sediakan raga atau bakul berlubang

Gunakan raga atau bakul pakaian yang mempunyai banyak lubang kecil bagi memastikan sistem pengaliran air yang baik dan mengelakkan takungan air berlebihan.

2. Gunakan tanah jenis peat moss

Pilih medium tanaman seperti peat moss kerana ia ringan, mampu menyimpan kelembapan dan sesuai untuk pertumbuhan kangkung.

3. Masukkan tanah ke dalam bakul

Tuangkan tanah ke dalam bakul sehingga mencapai kira-kira sejengkal sebagai lapisan asas.

Jangan lupa meletakkan baja dan kemudian alihkan bakul di kawasan yang terdedah dengan sinaran matahari. 

4. Tanam keratan batang kangkung

Cucuk keratan batang kangkung di sekeliling bahagian tepi bakul dengan memastikan bahagian akar berada di dalam tanah.

5. Lubang di tengah

Buat satu lubang di bahagian tengah dan letakkan cawan plastik yang telah ditebuk lubang kecil. Ini bertujuan memudahkan siraman.

6. Tutup akar dengan tanah dan ulang langkah

Tambahkan tanah untuk menutupi akar sepenuhnya, kemudian ulang proses menanam keratan batang dan menambah tanah sehingga bakul penuh.

7. Letakkan baja dalam cawan

Masukkan sedikit baja ke dalam cawan plastik tersebut dan siram sedikit agar nutrien dapat diserap secara perlahan.

8. Siram keseluruhan permukaan tanah

Akhiri dengan siraman ringan pada keseluruhan permukaan tanah bagi memastikan kelembapan mencukupi.

Kangkung yang ditanam menggunakan kaedah ini boleh dituai dalam tempoh sekitar dua hingga tiga minggu sahaja.

Selepas ini, untuk menyediakan hidangan seperti kangkung goreng belacan atau goreng taucu, tidak perlu lagi ke pasar kerana hanya perlu memetik segar dari 'kebun dapur' sendiri.

Selamat mencuba!

Artikel Lain