suria

Bangkok Ambil Langkah Susulan Berhubung Pengurusan Bencana Asean

BANGKOK: Bangkok akan mengambil langkah susulan terhadap cadangannya untuk meningkatkan keupayaan Asean dalam pengurusan bencana, terutamanya banjir, semasa sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) selama dua hari di Siem Reap, Kemboja bermula Selasa.

Dalam Sidang Kemuncak Asean di Bali baru-baru ini, Bangkok mencadangkan kerjasama Asean dalam pencegahan, tebatan, bantuan dan pemulihan banjir.

Cadangan itu akan turut meneliti keupayaan dalam menangani kesan tidak langsung bencana seperti jaminan makanan dan tenaga serta kesihatan awam.

Thailand baru sahaja pulih daripada banjir terburuknya dalam tempoh 50 tahun dengan satu pertiga daripada negara ini digenangi banjir, menjejaskan lima juta orang dari 25 wilayah di kawasan utara dan tengah, jumlah kematian mencecah 700 orang dan tujuh kawasan perindustrian ditenggelami air.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, Kementerian Luar, Bangkok akan turut memberi tumpuan terhadap peri pentingnya Asean melaksanakan pendekatan yang berpandangan ke depan dalam usaha membina komuniti menjangkaui 2015 dalam konteks Asia Timur yang lebih luas.

Ia akan turut memberi tumpuan ke arah meningkatkan kesalinghubungan dalam lingkungan Asean dan melewati Asean pada sesi permukiman AMM itu yang akan diadakan kira-kira 300km dari barat laut Phnom Penh, ibu negara Kemboja.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Kemboja Hor Namhong, yang juga Menteri Luar, dan dijangka menetapkan hala tuju yang akan memandu Asean dalam 2012 dengan dipengerusikan Kemboja.

Artikel Lain