suria

Afrika Selatan Lahirkan 2 Penerima Anugerah Nobel Dalam Sastera Tapi Kedai Buku Utama Terpaksa Ditutup

JOHANNESBURG: Afrika Selatan mungkin telah melahirkan dua pemenang Anugerah Nobel dalam bidang kesusasteraan tetapi salah sebuah kedai buku paling popular di sini terpaksa ditutup menjelang hujung bulan ini kerana kurangnya minat membaca di kalangan rakyat negara itu.

"The Boekehuis" atau dalam bahasa Inggeris bermaksud "book house", yang terletak berhampiran dua buah universiti utama di sini telah pun mengeluarkan notis kepada para pelanggannya bahawa ia akan ditutup hujung bulan ini.

Ia mula beroperasi sebagai sebuah kedai buku pada tahun 2000.

"Ini adalah tempat yang istimewa kerana ia bukan sahaja sebuah kedai buku tetapi juga sebuah rumah tempat di mana semua orang mencuri masa untuk datang beriadah, membaca dan membeli buku serta berdiskusi. Malangnya ini semua akan berakhir," kata pengurus Boekehuis Corina van der Spoel.

Boekehuis kini dimiliki oleh Media24, sebuah firma media yang terbesar di Afrika Selatan yang memiliki hampir kebanyakkan majalah dan akhbar utama Afrika Selatan.

Beberapa tokoh kesusasteraan antarabangsa termasuk Andre Brink, jurugambar popular, David Goldblatt dan pelukis antarabangsa William Kentridge telah cuba menyelamatkan kedai buku itu dengan menandatangani satu petisyen kepada Media24 dengan harapan ia akan mengubah fikiran pemiliknya.

Tetapi rayuan itu gagal untuk mengubah keadaan serta hakikat bahawa Media24 terpaksa menanggung bebanan kerugian sekitara AS$120,000 setahun.

Media24 sebaliknya menjelaskan bahawa mereka telah pun mengambil beberapa langkah serta opsyen termasuklah mencari pembeli baru yang berminat namun gagal.

Bagaimanapun Pengerusi Majlis Pembangunan Buku Afrika Selatan, Elitha van der Sandt mungkin ada jawapan yang lebih wajar terhadap isu ini.

"Hanya sekitar satu peratus sahaja daripada keseluruhan penduduk Afrika Selatan yang membeli buku, jadi bagaimanakah hendak menyelamatkan industri ini," kata Elitha.

Dan walaupun negara itu melahirkan pemenang Anugerah Nobel seperti Nadine Gordimer (1991) dan J.M. Coetzee (2003), malangnya karya mereka lebih dibaca oleh warga dunia berbanding warga Afrika Selatan sendiri.

Harga senaskhah buku yang terlalu mahal juga turut menyumbang kepada permasalahan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain