suria

Tikus Serang Pesakit Lumpuh Di Hospital

NEW DELHI: Seorang warga emas yang menghidap lumpuh dikatakan menjadi mangsa serangan tikus yang menggigit telinga, bibir, pipi serta kakinya di sebuah hospital kerajaan di Jodhpur, Rajasthan.

Lelaki berusia 70 tahun itu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Mathura Das Mathur, dikatakan digigit tikus pada awal pagi Selasa ketika kakitangan hospital sedang tidur, lapor media tempatan.

"Pesakit mengalami kecederaan di kedua-dua telinga, hidung, bibir dan pipi. Tiub ventilator juga didapati digigit. Satu lubang ditemui pada dinding ICU di mana tikus dapat dilihat keluar masuk," seorang doktor memberitahu agensi berita tempatan.

Pihak berkuasa menjalankan siasatan susulan aduan keluarga pesakit itu yang mengesan kecederaan pada warga emas terbabit.

Penyelia hospital Arvind Mathur berkata sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut tetapi tidak mengesahkan kejadian disebabkan tikus.

"Kami juga telah meminta bantuan pakar untuk mengatasi masalah tikus," katanya. Disember lepas, seorang pesakit di hospital kerajaan di Kolkata, Bengal Barat maut selepas alat kelaminnya putus digigit tikus. - BERNAMA

Artikel Lain