suria

Parti Bersatu Rusia Pimpinan Putin Sekadar Menang Tipis Dalam Pilihan Raya Parlimen

MOSCOW: Parti Bersatu Rusia yang dikepalai oleh Perdana Menteri Vladimir Putin telah kehilangan 77 kerusi parlimen dalam pilihan raya Dewan Perwakilan (Duma) yang berlangsung Ahad lali.

Parti berkenaan hanya mampu memperolehi 238 kerusi daripada 450 kerusi Duma pada pilihan raya parlimen yang berlangsung Ahad lalu.

Pada pilihan raya 2007, Parti Bersatu Rusia memenangi 315 kerusi.

Sistem politik baru Rusia sepertimana Amerika mempunyai dua bentuk pilihan raya - satu untuk memilih presiden dan satu lagi memilih perwakilan ke Dewan Rakyat.

Di Rusia Dewan Rakyat digelar 'Duma'.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Rusia, Vladimir Churov.

Ini adalah pengurangan kerusi Parti Bersatu Rusia yang paling buruk dalam sejarah demokrasi moden negara tersebut selepas kejatuhan Empayar Soviet.

Ia sekaligus menjejaskan peluang Putin untuk kembali sebagai presiden negara itu dalam pilihan raya presiden tahun depan.

Walaupun parti pimpinan Putin itu memperolehi majoriti tipis tetapi beberapa protes telah berlaku di ibu kota Rusia ini dan juga di bandar kedua terbesar iaitu Saint Petersburg yang menyaksikan pihak polis menahan lebih 300 penunjuk perasaan termasuklah bloger anti-rasuah terkenal, Alexei Navalny di Moscow dan lebih 100 orang lagi di St Petersburg.

Dengan kehilangan majoriti dua pertiga ini bermakna Parti Bersatu Russia berhadapan dengan kesukaran untuk meminda sebarang perkara dalam perlembagaan negara.

Dari segi peratusan undi pula, parti berkenaan hanya mampu meraih 49.35 peratus undi berbanding 64 peratus padqa 2007.

Parti pembangkang iaitu Parti Komunis Rusia kembali memperolehi sokongan dengan memenangi 92 kerusi parlimen.

Ini diikuti oleh Parti Just Russia dengan 64 kerusi dan parti ultra-nationalis, Liberal Demokrat yang memperolehi 56 kerusi.

Bagaimanapun jumlah yang keluar mengundi hanyalah 60 peratus.

Pengaruh Parti Bersatu Russia di sebahagian besar daripada 83 wilayah Rusia telah menyaksikan kemerosotan yang ketara melainkan di wilayah Utara Caucasus yang didominasi oleh masyarakat Islam, parti berkenaan menerima sokongan padu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain