suria

Yingluck Beri Jaminan Banjir Tidak Akan Berulang Lagi Tahun Depan

BANGKOK: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra memberi jaminan kepada komuniti antarabangsa dan perniagaan bahawa banjir terburuk yang melanda Thailand dalam tempoh lima dekad, tidak akan berulang tahun depan.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil segala langkah pencegahan dalam usaha melindungi negara ini di samping kawasan perindustrian seandainya taufan atau taburan hujan luar biasa berulang tahun depan.

"Kerajaan akan merangka pelan jangka panjang dalam memastikan pembangunan mapan negara dengan mengambil kira faktor alam semula jadi dalam perancangan bandarnya," katanya pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan telah menubuhkan dua jawatankuasa - Jawatankuasa Strategik bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan Masa Depan (SCKF) dan Jawatankuasa Strategik bagi Pengurusan Sumber Air (SCWRM) - untuk membuat cadangan kepada kerajaan ke arah mencapai tujuan itu.

"Kami perlu meneliti semula cara terbaik untuk menguruskan sumber air kita menerusi cara yang mapan. Kami akan memastikan agar Thailand akan bergerak ke hadapan dalam cara yang yang lebih mapan," katanya.

Yingluck berkata beliau akan mempengerusikan SCWRM manakala bekas Menteri Kewangan Virabongsa Ramangkura pula mengetuai SCKF.

Beliau berjanji kerajaan akan mempercepatkan langkah pencegahan itu dalam usaha membina keyakinan kalangan komuniti antarabangsa dan perniagaan.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih digenangi air yang menjejaskan lebih sejuta penduduk dari 24 wilayah dari utara dan tengah apabila banjir paling buruk dalam lima dekad melanda negara ini sejak 25 Julai.

"Kesediaan syarikat insurans untuk menerima perlindungan insurans di kawasan perindustrian yang dilanda banjir pada masa depan akan terus menjadi kayu pengukur untuk menentukan kejayaan langkah pencegahan kerajaan," kata Virabongsa.

Lima kawasan perindustrian di Ayutthaya dan dua di Phaum Thani dengan pelaburan berjumlah beratus-ratus bilion Baht, terjejas teruk akibat banjir itu.

"Kami perlu memberi jaminan kepada penduduk Thai dan pelabur asing bahawa perkara ini (banjir terburuk) tidak akan berulang," katanya.

Virabongsa berkata tempoh setahun bagi kerajaan merangka langkah pencegahan adalah tugas yang boleh dilakukan dalam usaha untuk membina keyakinan.

Yingluck berkata kerajaan akan membina benteng penahan banjir, bendungan dan mesin mengepam air di kawasan perindustriannya sebagai langkah pencegahan.

Virabongsa berkata beliau akan pergi ke Jepun secepat mungkin untuk mendapatkan input berhubung cara terbaik yang boleh dilakukan kerajaan untuk melindungi kepentingan perniagaan mereka di negara ini memandangkan sebahagian besar daripada kilang pengeluaran yang dilanda banjir adalah kepunyaan syarikat Jepun.

Yingluck berkata kedua-dua jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan pakar tempatan dan antarabangsa untuk merangka pelan berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan memulakan kerja-kerja memulihkan semula beberapa kawasan di wilayah utara yang baru sahaja pulih daripada banjir.

"Kami akan membantu membina semula infrastruktur selain membantu individu dan komuniti perniagaan memandangkan kerajaan merancang untuk menolong segenap lapisan masyarakat," katanya.

Virabongsa kemudian memberitahu BERNAMA bahawa langkah jangka pendek adalah untuk melindungi tujuh kawasan perindustrian yang terjejas daripada mengalami nasib sama tahun depan manakala langkah jangka panjang pula merupakan perancangan bagi seluruh negara.

Beliau berharap dapat mengemukakan cadangan jangka panjang kepada kerajaan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Pada masa banjir semakin menghampiri kawasan perindustrian Bang Chan dalam daerah Bung Kum di wilayah Bangkok, Timbalan Perdana Menteri Kittirat na Ranong, yang juga Menteri Perdagangan, berkata kerajaan tidak sesekali akan berputus asa dalam usahanya melindungi zon perindustrian.

"Kami tidak akan menyerah kalah. Kami telah bersedia untuk melindungi kawasan perindustrian," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain