suria

Thailand Hargai Bantuan Malaysia Kepada Mangsa Banjir

HATYAI (THAILAND): Keprihatinan dan kesungguhan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir Thailand mendapat sanjungan kerajaan negara itu.

Gabenor Songkhla, Vinyoo Thongsakul, berkata air minum bersih sangat diperlukan kerana bekalan tidak mencukupi untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

"Kami merayu mendapatkan sumbangan terutama air minuman dan makanan kering kerana banjir yang melanda Bangkok dan Ayuthaya sejak Ogos lepas dijangka berlarutan sebulan lagi.

"Bantuan rakyat Malaysia benar-benar menyentuh hati dan perasaan kami," katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas menyambut ketibaan tiga treler air minuman dan makanan kering halal di markas Divisyen Keempat Tentera Thailand di sini petang Selasa.

Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Malaysia, Datuk Latt Shariman Abdullah yang bertindak sebagai penyelaras misi 'Bantuan Banjir Thailand', mengetuai misi penghantaran bantuan ketiga itu bernilai lebih RM100,000.

Sebelum ini Latt Shariman mengetuai dua siri penghantaran air minuman dan makanan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM300,000 manakala kerajaan Malaysia menyumbangkan US$1 juta kepada kerajaan Thailand.

Vinyoo menyifatkan hubungan Malaysia-Thailand seperti adik-beradik selain sebagai jiran baik yang mengambil berat masalah jirannya.

Menurutnya banjir yang panjang itu telah menyebabkan banyak kerosakan harta benda serta menjejaskan ekonomi dan masyarakat di kawasan yang dilanda bencana itu.

Latt Shariman ketika berucap berkata Malaysia sedia membantu Thailand kerana menganggap banjir menyentuh hati rakyat Malaysia yang pernah mengalami bencana itu.

"Kami (rakyat dan kerajaan) memahami kesengsaraan mangsa-mangsa banjir dan sebab itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengarahkan saya menggerakkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul sumbangan orang ramai dan syarikat-syarikat korporat.

"Kami menerima sambutan yang menakjubkan daripada pelbagai pihak yang memberi sumbangan sehingga bantuan ini berjaya dihantar dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri Thailand," katanya.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas itu, Latt Shariman berharap tiga treler air minuman dan makanan dapat membantu 50,000 mangsa banjir beragama Islam mendapatkan makanan halal.

Beliau mengucapkan tahniah kepada St John Ambulans Kedah dan Pulau Pinang, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Majlis Belia Malaysia cawangan Kedah, Crisis Relief Squad MCA Alor Setar serta Barisan Kola(Umno Kuala Kedah) atas sumbangan besar menjayakan ketiga-tiga misi penghantaran bantuan itu.

Latt Shariman, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah berkata misi bantuan itu bagaimanapun kini digantung sementara bagi membolehkan persiapan menghadapi banjir yang dijangka melanda Kedah tidak lama lagi.

Yang turut hadir Timbalan Gabenor Songkhla, Augkarapon Boonyanit, wakil tentera Thailand, Brig-Jen Bencharong Chorlarnporn, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan, Senator Boon Som Inong, Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Muhammad Hatta Kassim dan Komander St John Ambulans Kedah, Datuk Dr Ch'ng Kok Heong. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain