suria

Tiada Pengambilan Wilayah Indonesia Oleh Malaysia:Zahid Hamidi

JAKARTA: Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin menegaskan lagi bahawa tidak berlaku sebarang perbuatan pengambilan wilayah Indonesia secara haram oleh Malaysia sebagaimana didakwa pihak tertentu. Beliau berkata sebuah jawatankuasa kerja sempadan yang meninjau kawasan berkenaan selama tiga hari telah menyaksikan sendiri bahawa batu sempadan tidak pernah dipindahkan sebagaimana didakwa.

Batu-batu sempadan itu tetap berada di tempatnya sebagaimana yang dipersetujui mengikut perjanjian Inggeris-Belanda pada 1891 dan perjanjian-perjanjian seterusnya. Oleh itu rakyat kedua-dua negara tidak perlu bertelagah mengenai persoalan itu kerana ia bukanlah suatu isu, katanya kepada wartawan Malaysia di sini Isnin. Ahmad Zahid berkata beliau difahamkan bahawa permasalan politik dalaman merupakan perkara sebenar di sebalik isu yang cuba ditimbulkan itu untuk pembinaan imej dalam saingan popularliti.

"Kita tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal politik wilayah berkenaan, apatah lagi campur tangan dalam hal ehwal politik Indonesia, oleh itu kita minta agar isu ini tidak dipolitikkan," kata Ahmad Zahid.

Beliau berada di sini sebagai Menteri Pengiring dalam lawatan rasmi dua hari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke Indonesia.

Ahmad Zahid pada Isnin turut mengambil peluang menjelaskan mengenai perkara-perkara berkaitan sempadan kedua-dua negara di kawasan Camar Bulan dan Tanjung Datu yang dihangatkan oleh media tempatan di Indonesia kebelakangan ini.

Beliau turut muncul di stesen saluran berita TV One di sini memberi penjelasan mengenai perkara sama.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang menteri Indonesia yang telah memperjelaskan tentang masalah sempadan yang dipertikaikan kononnya oleh anggota Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat TB Hasanuddin.

"Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono yang mengatakan bahawa tidak ada langsung permasalahan yang timbul daripada segi pemindahan batu sempadan di kawasan yang dikatakan sebagai kawasan Camar Bulan," katanya. Pada sidang media tempatan, Ahmad Zahid disertai seorang anggota Jawatankuasa Kerja Sempadan, Suruhanjaya II, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia Ramadhan Pohan, yang telah meninjau sempadan itu selama tiga hari dan menyaksikan sendiri bahawa batu sempadan tidak dipindahkan seperti didakwa.

Kesepakatan Malaysia dan Indonesia dalam soal sempadan bersama itu, katanya, telah diperkuatkan lagi dengan pembentukan empat jawatankuasa bersama - Jawatankuasa Teknikal Sempadan, Suruhanjaya Bersama Sempadan, Kumpulan Kerja Persempadanan, serta Kumpulan Kerja Teknikal Untuk Mengukur dan Meletakkan Batu-batu Sempadan.

"Tidak ada fakta yang menjunjukkan bahawa Malaysia telah masuk ke sempadan Indonesia, jauh sekali dakwaan kononnya ada tentera Malaysia seramai 3,000 orang yang dikatakan masuk ke wilayah Indonesia," kata Ahmad Zahid. Sehubungan itu, katanya, persoalan itu biarlah diselesaikan di peringkat kepimpinan, peringkat kerajaan dan peringkat wilayah. - BERNAMA

Artikel Lain