Ada Pihak Berhalusinasi Dalam Dakwaan Pencerobohan Malaysia Ke Wilayah Indonesia - Dunia | mStar

Ada Pihak Berhalusinasi Dalam Dakwaan Pencerobohan Malaysia Ke Wilayah Indonesia

JAKARTA: Ada pihak mungkin berhalusinasi dalam soal dakwaan kononnya Malaysia menceroboh wilayah Indonesia, mengambil tanah secara haram dan menempatkan ribuan anggota pasukan bersenjata di kawasan itu, demikian pandangan seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengenai perkara itu.

Drs Ramadhan Pohan, yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Suruhanjaya II DPR, membuat kesimpulan itu setelah meninjau kawasan yang dipertikaikan dan melihat sendiri batu sempadan yang dibina bersama Malaysia-Indonesia masih kekal di tempatnya dan tiada kawasan wilayah Indonesia yang diceroboh Malaysia.

"Tidak ada 3,000 anggota PGA (Pasukan Gerak Am) yang mengawal wilayah kita (di Camar Bulan, Indonesia). Yang ada cuma pokok-pokok. Tidak timbul isu itu. Yang membuat dakwaan kononnya ada askar Malaysia (anggota PGA) mungkin sedang berhalusinasi," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini Isnin, bagi menjelaskan mengenai isu pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia di Camar Bulan dan Tanjung Datu di antara Sarawak dan Kalimantan Barat di sini Isnin.

Dr Ahmad Zahid berada di sini selaku Menteri Pengiring dalam lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke Indonesia.

Ramadhan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti Demokrat, pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menganggap tindakan ahli politik yang menyampaikan maklumat tidak berdasarkan fakta tepat itu, sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia itu ditimbulkan Timbalan Ketua Suruhanjaya I DPR, TB Hasanuddin daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mendakwa kononnya wilayah Camar Bulan seluas hampir 1,500 hektar dan wilayah Tanjung Datu seluas 800 meter garis pantai telah diambil oleh Malaysia secara haram.

Dakwaan itu disangkal oleh kerajaan Indonesia, antara lainnya Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Djoko Suyanto, Menteri Luar Marty Natalegawa, Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan Purnomo Yusgiantoro.

Pada Jumaat lepas, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono memberitahu DPR bahawa tidak ada sedikitpun wilayah Indonesia di Camar Bulan dan Tanjung Datu, Kalimantan Barat, yang diambil oleh Malaysia.

Ramadhan turut menunjukkan beberapa foto yang dirakam dengan telefon bimbitnya ketika mengadakan tinjauan bersama empat anggota DPR ke kawasan berkenaan Jumaat lalu.

"Saya mengharapkan ahli-ahli politik agar menyampaikan berita bersesuaian dengan fakta. Bukan dengan hanya mendengar cakap orang lain tanpa terlebih dahulu melakukan siasatan," kata Ramadhan.

Isu sempadan itu, yang dihangatkan oleh laporan media tempatan telah mengakibatkan beberapa kumpulan masyarakat Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan bagi membantah tindakan yang didakwakan itu. Hari ini, satu lagi kumpulan seramai 65 orang berdemonstrasi Kedutaan Besar Malaysia itu.

Ramadhan berkata ahli politik seharusnya berkongsi kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Indonesia di kawasan sempadan, yang banyak kekurangan daripada segi kemudahan dan infrastruktur, bukannya mencetuskan isu yang tidak berasas.

"Isu kemiskinan, keterbatasan infrastruktur dan kemudahan kesihatan dan sebagainya yang diperlukan oleh warga Indonesia di wilayah itu yang patut menjadi persoalan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

84 Maut Akibat Hujan Lebat Di Amerika Tengah

Artikel Berkaitan

default image

Gempa Bumi Sederhana Landa Indonesia

default image

Situasi Banjir Di Thailand Bertambah Baik

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain