suria

Yingluck Sediakan Asas Untuk Kerajaan Baru Thailand

BANGKOK: Yingluck Shinawatra, calon Perdana Menteri daripada parti Pheu Thai, telahpun menyediakan asas sebelum pentadbiran beliau mengangkat sumpah memegang jawatan yang dijangka berlangsung bulan depan.

Pertama sekali, beliau mendapatkan rakan gabungan untuk memastikan sebuah kerajaan yang stabil sungguhpun parti beliau boleh memerintah sebagai kerajaan parti tunggal.

Parti New Democrat yang meraih satu kerusi baru saja menyertai kerajaan campuran, yang kini dianggotai enam parti dengan 300 kerusi.

Sebelum ini, Pheu Thai yang memenangi 265 kerusi pada pilihan raya Ahad lepas, bergabung dengan Chart Thai Pattana (19 kerusi), Chart Pattana Puea Pandin (tujuh kerusi), Phalang Chon (tujuh kerusi) dan Mahachon (satu kerusi).

Ini menjadikan pembangkang memiliki 200 dengan parti pendahulu dalam kerajaan sementara, iaitu parti Democrat menyandang 159 kerusi, Bhumjai Thai (34 kerusi), Rak Thailand (empat kerusi), Matubhum (dua kerusi) dan Rak Santi (satu kerusi).

Mengikut Perlembagaan Thai, Parlimen mesti mengadakan persidangan pertamanya dalam tempoh 30 hari selepas pilihan raya. Ia kemudian mesti melantik seorang Perdana Menteri menerusi undian, sebelum membentuk sebuah kerajaan baru.

Yingluck dijangka memenangi jawatan tertinggi negara tanpa bertanding memandangkan Perdana Menteri yang bakal mengosongkan jawatan itu, Abhisit Vejjajiva berkata Yingluck seharusnya dibenarkan mengambil alih tampuk pemerintahan negara tanpa bertanding jika partinya memperoleh majoriti.

Sekiranya menjadi kenyataan, Thailand akan mempunyai Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka memperakukan 90 peratus Anggota Parlimen (MP) sebelum 12 Julai memandangkan kira-kira 50 yang lain masih disiasat kerana penipuan pilihan raya, menurut seorang anggota SPR Prapan Naigowit.

Jika kesemua MP diperakukan, barisan kerajaan akan turut dianggotai tiga pemimpin Baju Merah -- Jatuporn Prompan, Nathawut Saikua dan Weng Tojirakarn yang menang atas tiket Pheu Thai.

Kumpulan Baju Merah terbabit dalam tunjuk perasaan jalanan dan pertempuran dengan tentera dalam pergolakan pada April-Mei tahun lepas di ibu negara ini yang mengakibatkan 91 orang terbunuh dan 1,800 lagi cedera.

Antara MP baru yang menyertai barisan pembangkang termasuk perancang rampasan kuasa 2006 Jen Sonthi Boonyaratglin yang menggulingkan abang Yingluck, Thaksin, dan Chumvit Kamolvisit, hartawan rumah urut yang kemudian menyertai politik.

Kedua-dua mereka adalah MP masing-masing daripada parti Matubhum dan Rak Thailand. Yingluck, ahli perniagaan wanita berusia 44 tahun yang menyertai politik tidak lama sebelum pilihan raya, turut menghimpunkan pasukan ekonomi beliau dan menggariskan tugas segera yang perlu ditangani oleh pentadbirannya.

Ini termasuk: * mewujudkan perpaduan dan perdamaian dalam negara;

* memulihkan semula ekonomi menerusi pengurangan kos hidup, meningkatkan pendapatan dan menggalakkan pelaburan negara;

* Mempromosikan hubungan antarabangsa, di peringkat bilateral dan multilateral;

* Menggalakkan pegawai negara untuk membantu menyelesaikan segera masalah rakyat;

* Membasmi segera rasuah dengan memastikan siasatan yang adil dan telus; * Memastikan pelaksanaan semua dasar yang dicadangkan tepat pada masanya. Janji pilihan raya Pheu Thai turut merangkumi pemberian komputer tablet percuma bagi setiap pelajar dan dana sejuta Baht (kira-kira RM100,000) bagi setiap kampung di negara ini untuk program pembangunannya, pengurangan cukai korporat daripada 30 peratus kepada 23 peratus, dan membasmi kemiskinan dalam tempoh empat tahun.

Siswazah yang mula bekerja mendapat jaminan gaji bulanan minimum 15,000 Baht (RM1,500), gaji minimum 300 Baht (RM30) sehari dan kadar purata harian 20 Baht (RM2) setiap perjalanan bagi sistem transit aliran ringan.

Yingluck berkata beliau akan membentuk Kabinet yang dianggotai hanya oleh calon yang berkeupayaan serta mempunyai kelayakan dan pilihan masih terbuka kepada semua, termasuk pemimpin Baju Merah.

Beberapa pengkritik di dalam dan di luar parti bimbang kemasukan anggota Baju Merah dalam Kabinet mungkin mencemar imej kerajaan memandangkan ada di antara mereka yang berdepan tuduhan keganasan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tsunami Kecil Landa Jepun

Artikel Lain